Covid-19
“Lebih Baik Rakam Video Untuk Hiburkan Peminat Sebab, Kalau Buat Live Nanti…– Andi Bernadee
Penyanyi Andi Bernadee mengakui siaran langsungnya bersama Gempak menerusi segmen #ArtisDudukDiam adalah yang pertama kali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
Menurut Andi, dia mempunyai alasan tersendiri mengenai perkara tersebut, biarpun banyak pihak yang mengundangnya untuk mengadakan temuramah secara langsung.
“Yang sebenarnya saya tidak suka sekiranya ketika sedang membuat video secara langsung di IG Live atau platform lain, ada komen-komen yang tidak sepatutnya.
“Bukan kerana saya ini takut kepada kecaman, tetapi saya tidak mahu menggalakkan komen-komen melampau atau keterlaluan.
“Dalam industri ini saya bermula dengan kecaman, jadi saya dah kalis. Saya cuba bersikap positif dan elak benda-benda negatif daripada berlaku,” katanya kepada Gempak.
Sepanjang PKP ini, pelantun suara Shimmy itu lebih aktif dalam menghasilkan video untuk menghiburkan pengikutnya di laman sosial.
“Saya lebih selesa merakam video dan post di Instagram atau TikTok. Dengan cara itu saya dapat hilangkan rasa sunyi di rumah semasa PKP ini.
“Secara tak langsung, peminat-peminat juga terhibur menontonnya,” tambah Andi.
Katanya lagi dia tidak kisah jika ada yang tidak suka dengan apa yang dilakukan kerana minat setiap orang itu berbeza.
“Biasalah, dalam kehidupan kita ni…Apa sahaja yang kita lakukan ada yang suka ada yang tak suka. Bagi saya asalkan content dalam video itu tidak menyentuh perkara-perkara sensitif dan menyakitkan hati orang lain…tak ada masalah,” ujarnya positif.
Setakat ini video-video yang dikongsi Andi di laman sosial Instagram mendapat perhatian warganet malah perkongsiannya mencecah sehingga 1 juta tontonan.
Must-Watch Video