Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Meludah Boleh Sebarkan Virus” – Kad Kuning Kepada Pemain Meludah Atas Padang!

Fiza Kamarudin
29/04/2020 04:09 MYT
Jawatankuasa Perubatan FIFA memberi amaran akan melayangkan kad kuning kepada pemain bola sepak yang meludah di atas padang.

Ini kerana, perbuatan tersebut berpotensi menyebarkan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu Pengerusi Jawatankuasa Perubatan FIFA, Michel D'Hooghe menegaskan ia perlu dihentikan.

"Ia adalah perbuatan yang biasa dilakukan di dalam bola sepak dan tidak bagus," katanya.

"Jadi apabila bola sepak bersambung semula, saya rasa kami perlu mengelak perbuatan meludah itu daripada berlaku.

"Persoalannya adalah sama ada tindakan boleh dilakukan. Mungkin pengadil boleh memberikan hukuman kad kuning.

"Tindakan meludah boleh menyebarkan virus. Inilah sebabnya mengapa kami perlu berhati-hati sebelum memulakan semula aksi bola sepak," katanya.

Beberapa perubahan kecemasan juga bakal dilaksanakan sebagai usaha membendung penularan pandemik itu.

Antaranya larangan mengadakan hubungan seks sekiranya pemain ataupun pasangan mereka menunjukkan simptom coronavirus seperti yang ditetapkan kepada pemain Bundesliga.

Mereka juga perlu tiba di pusat latihan menaiki bas yang berbeza selain perlu menggunakan siku untuk menekan butang lif.

Perubahan 'sementara' juga membabitkan pertukaran pemain daripada tiga kepada lima pemain bagi mengelak pemain keletihan dan kecederaan selepas bakal berdepan jadual yang begitu padat.

Selain itu, bola dan padang akan disanitasi serta pemain juga tidak digalakkan untuk bersentuhan dalam situasi sepakan sudut.

Latihan juga perlu dilangsungkan dalam skala kecil dan hanya lima pemain dalam satu kumpulan.

Perancangan untuk aksi berlangsung di venue neutral turut dicadangkan di mana sebelum ini laporan menyatakan berkemungkinan empat perlawanan dalam sehari akan berlangsung di Stadium Wembley.

Sumber: Harian Metro, BH Online
#Sukan #COVID-19 #Meludah Kad Kuning
;