Covid-19
Pergi Ke London Sebelum PKP, Sarah Suhairi & Keluarga Akan Kuarantin Diri Di Rumah
Penyanyi Sarah Suhairi, 20, menjelaskan dia dan keluarga akan menjalani proses kuarantin di rumah sejurus tiba dari London, United Kingdom hujung bulan ini.
Menerusi kiriman WhatsApp yang dihantar kepada Gempak, Sarah memohon semua pihak agar mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.
"Alhamdulillah keadaan Sarah dan keluarga di sini sihat sejahtera.
"Setibanya di Malaysia nanti kami sendiri akan kuarantin diri di rumah selama 14 hari dan jalani saringan di hospital.
"Doakan yang baik-baik untuk kami sekeluarga sihat dari sebarang penyakit," tulisnya.
Tambah Juara Big Stage musim pertama ini, dia dan keluarga ke sana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.
"Kami sekeluarga ke sana sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.
"Kedai di sini pun tutup awal sebelum 7 malam dan kami sendiri akan duduk di rumah sahaja bersama keluarga.
"Saya mendoakan agar semua rakyat Malaysia diberikan kesihatan yang baik dan negara kita pulih seperti sediakala," tulisnya lagi.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April ini.
Sekadar info, Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 1,796 orang dengan 17 rekod kematian.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video