“Vaksin Secara 'Walk-In' Akan Dilaksanakan Selepas…” – Khairy Jamaluddin
Awani
16/06/2021 19:19 MYT
16/06/2021 19:19 MYT
Vaksinasi secara 'walk in' atau penerimaan suntikan vaksin COVID-19 tanpa pendaftaran awal bakal dilaksanakan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), menurut Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun jelasnya, keutamaan masih diberikan kepada individu yang telah berdaftar namun belum diberi janji temu untuk menerima suntikan vaksin.
“Kita akan melaksanakan ‘walk-in’ tetapi biarlah saya selesaikan dahulu mereka yang berdaftar, namun belum menerima janji temu vaksinasi,” jelas Khairy kepada Astro AWANI pada Rabu.
“Kita tak boleh buat ‘walk-in’ buat masa ini sebab masih ada lagi yang berdaftar belum dapat janji temu.”
Beliau turut merujuk kepada beberapa negara lain yang mula menawarkan vaksinasi secara ‘walk-in’ setelah selesai memberi vaksin kepada individu yang menunjukkan minat dan berdaftar.
Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, penghantaran bekalan vaksin ke PPV juga mungkin berdepan masalah sekiranya pemberian vaksin dibuka secara “free for all” dalam situasi sekarang kerana dijangka akan mewujudkan kesesakan.
“Kita pun tidak tahu bagaimana untuk mengagihkan vaksin ke PPV sekiranya kita buka secara ‘free for all’ kerana akan berlaku kesesakan,” jelasnya.
Setakat ini, seramai 13.8 juta orang telah mendaftar untuk vaksin melalui PICK, dengan 3.4 juta telah menerima dos pertama suntikan vaksin.
Pendekatan ‘suntik dahulu dan daftar kemudian’ turut akan digunakan di Sarawak, selepas pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg minggu lepas.
Selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, Sarawak juga akan menggunakan kaedah hibrid yang melibatkan pendaftaran secara manual selepas pemberian vaksin terutama bagi masyarakat luar bandar.