Sekilas
- Shila Amzah reda selepas doktor menasihatkan dia tidak mempunyai anak ketiga kerana dia adalah pembawa talesemia yang boleh membahayakan kesihatan semasa kehamilan.
- Shila mengetahui dirinya pembawa talesemia ketika mengandung anak keduanya, Seth Uwais, selepas mengalami bacaan hemoglobin yang sangat rendah.
- Doktor tidak menggalakkan Shila hamil anak ketiga kerana risiko pendarahan yang tinggi semasa bersalin, terutamanya selepas dua pembedahan kecemasan yang pernah dijalani.
Penyanyi dan komposer, Shila Amzah mengakui reda apabila disarankan doktor untuk tidak memiliki anak ketiga selepas disahkan sebagai pembawa talasemia.
Menurut Shila, dia sememangnya menyimpan hasrat untuk memiliki keluarga yang besar, namun memilih untuk menerima ketentuan itu dengan hati terbuka demi kesihatannya.
“Saya reda, saya okay sahaja. Dalam ekonomi sekarang, dua orang anak sudah mencukupi.
“Pada mulanya memang saya mengimpikan sebuah keluarga besar, tetapi dalam masa sama bila doktor dah cakap macam itu, kami terima.
“Mungkin Allah lebih mahu kami hanya memberi fokus pada Seth sahaja,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, pelantun lagu Patah Seribu itu turut mendedahkan dia mengetahui dirinya pembawa talasemia ketika sedang hamil anak pertamanya, Seth Uwais.
“Selalunya ibu mengandung akan tengok bacaan hemoglobin. Saya pernah turun sampai bacaan enam, doktor pun pelik macam mana saya boleh berjalan.
“Doktor pun cadangkan saya buat pemeriksaan darah. Rupanya saya ada talasemia.
“Saya ialah pembawa talasemia, bermaksud saya tahu tentang hal ini sewaktu hamilkan Seth,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Shila berkata doktor tidak menyarankan dia memiliki anak ketiga kerana bimbang terhadap risiko keselamatan dirinya.
“Kenapa doktor kata tak boleh ada anak ketiga kerana kalau bersalin secara normal atau pembedahan, melahirkan anak ini banyak berlaku pertumpahan darah.
“Jadi, bila orang yang tak cukup darah macam saya, ia akan mengakibatkan risiko kepada ibu.
“Disebabkan itu doktor tak sarankan saya hamil anak ketiga, tambahan pula saya dah dua kali menjalani pembedahan kecemasan dan dua kali ditidurkan,” kongsinya.
Sebelum ini, Shila pernah mendedahkan dia menghidap talasemia disebabkan faktor genetik yang diwarisi daripada sebelah bapanya.
Sekadar info, Shila Amzah mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh, Ubai pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira, 2.
Shila juga memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Seth Uwais, 6.