Pada Disember 2019, Triumph mengumumkan satu kerjasama rasmi dengan firma EON Productions membabitkan penggunaan motosikal dalam filem James Bond: No Time To Die.


EON Productions ialah syarikat yang dikenali dengan penghasilan siri filem blokbuster James Bond.


Pendek kata, motosikal Triumph Scrambler 1200 sudah digunakan dalam filem terbaharu ejen perisik 007 yang dilakonkan oleh Daniel Craig. Filem No Time To Die yang sepatutnya ditayangkan April lalu telah ditunda ke November ini disebabkan Covid-19.


Sebagai menghargai kerjasama itu, Triumph menawarkan Scrambler 1200 Bond Edition iaitu motosikal edisi terhad yang dikeluarkan sebanyak 250 unit bagi pasaran dunia.


Scrambler 1200 Bond Edition memaparkan liveri grafik premium 007, instrumen meter TFT Bond dan pelana yang dibalut material kulit asli dengan sulaman logo 'Bond Edition'.


Skim warna badan motosikal ini juga diinspirasi daripada filem terbaharu James Bond. Antaranya ialah madgad hitam, fork hitam, lencana enjin berwarna emas, lengan ayun dan penutup sproket hitam dan rel tangan, pelindung enjin juga berwarna hitam. Tambahan lain ialah mufler Arrow dengan muncung gentian karbon.


Scrambler 1200 Bond Edition menggunakan enjin dwisilinder 1,200cc yang menjana kuasa 89hp @ 7,400rpm dan tork puncak 110Nm @ 3,950rpm. Ia disambungkan dengan kotak gear enam kelajuan.


Triumph Scrambler 1200 Bond Edition dijual pada harga AS$18,500 (RM80,724) dan model ini sudah memasuki pasaran sejak 21 Mei lalu.