ANTARABANGSA
3 Daripada 100 Unit Maserati Levante Trofeo Launch Edition Ditawarkan Di Malaysia, Harga RM838,800 Sebelum Cukai
Naza Italia – Maserati melancarkan Maserati Levante Trofeo Launch Edition dengan menampilkan enjin paling berkuasa dalam barisan kenderaan itu dan pada masa sama memiliki segala keselesaan sebuah SUV yang berprestij.
Jentera itu hanya ditawarkan tiga unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Lagi pun, ia adalah edisi terhad selepas hanya 100 unit yang dibina seluruh dunia.

Dari segi penampilan, Levante Trofeo dilengkapi dengan lampu utama adaptif Full Matrix LED, gril depan dengan palang vertikal berkembar dengan kemasan Black Piano dan di bahagian bawahnya dilengkapi jaring rekaan sarang lebah.

Pada masa sama, ia turut menerima kemasan gentian karbon berkilat pada pemecah angin bahagian bawah, bilah sisi pada bahagian kemasukan udara hadapan, kemasan skirt sisi dan ekstraktor belakang.

Ia dilengkapi dengan kerusi sport ala bucket yang dibaluti kulit premium semula jadi “Pieno Fiore” yang asli yang tidak terdapat dalam industri automotif.

Tombol rotari pada konsol di bahagian tengah bawah ialah komponen aluminium tempaan berkualiti tinggi yang menawarkan kawalan kekuatan audio dan fungsi sistem infotainment lain secara mudah.

Kelengkapan dalaman disempurnakan dengan sistem audio premium Bowers & Wilkins 17 pembesar suara 1,280 watt. Setiap unit disediakan dengan lencana peribadi pada konsol tengah yang menampilkan Trident yang penuh lagenda serta logo Trefeo dan perkataan "one of 100”.

Dari segi prestasinya, SUV itu boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam hanya 3.9 saat dan kelajuan tertinggi pada 304 km/j dengan jarak membrek 34.5 meter sebelum berhenti sepenuhnya.

Sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive memberikan pengalaman pemanduan roda belakang yang termaju bagi memenuhi keperluan Levante Trofeo. Dalam keadaan pemanduan normal, Q4 menyampaikan 100 peratus daripada tork enjin kepada roda belakang.

Mod pemanduan CORSA pula akan memberi respons enjin yang agresif pada input pendikit yang minimum dan bunyi deruman enjin Maserati yang garang selepas saluran terbuka luas selepas injap ekzos dibuka.

Apabila mod paling sport ini diaktifkan, sistem Traction Control (kawalan cengkaman) dan ESP dikurangkan untuk nikmat pemanduan yang maksimum.
Bukan itu sahaja, sistem Integrated Vehicle Control (IVC) buat pertama kali dipasang pada Levante untuk memberikan dinamik pemanduan yang terbaik, keselamatan aktif yang lebih tinggi dan prestasi terbaik.

Selain itu, ia ditawarkan dengan perlindungan 3 tahun Jaminan Standard tanpa sekatan perbatuan dengan program penyelenggaraan percuma untuk 3 tahun atau 60,000km.
Must-Watch Video