Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

3 Daripada 100 Unit Maserati Levante Trofeo Launch Edition Ditawarkan Di Malaysia, Harga RM838,800 Sebelum Cukai

Erywan
04/06/2020 02:10 MYT
Naza Italia – Maserati melancarkan Maserati Levante Trofeo Launch Edition dengan menampilkan enjin paling berkuasa dalam barisan kenderaan itu dan pada masa sama memiliki segala keselesaan sebuah SUV yang berprestij.

Jentera itu hanya ditawarkan tiga unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Lagi pun, ia adalah edisi terhad selepas hanya 100 unit yang dibina seluruh dunia.


Bagi pasaran Malaysia, ia ditawarkan warna berbeza bagi setiap unit iaitu Blu Emozione Matte (biru), Giallo Modenese (kuning) dan Rosso Magma (merah) dengan pakej Nerissimo. Jadi pemilik ketiga-tiga unit Levante Trofeo Launch Edition yang eksklusif ini, tiada kereta yang serupa akan ditemui di jalan raya Malaysia nanti.

Dari segi penampilan, Levante Trofeo dilengkapi dengan lampu utama adaptif Full Matrix LED, gril depan dengan palang vertikal berkembar dengan kemasan Black Piano dan di bahagian bawahnya dilengkapi jaring rekaan sarang lebah.


Bagi memberi lebih unik, pemegang pintu dan angkup brek setiap unit itu diwarnakan mengikut warna kereta, selain logo Trofeo menjadi penghias pilar C ikonik Levante dengan gaya coupe.

Pada masa sama, ia turut menerima kemasan gentian karbon berkilat pada pemecah angin bahagian bawah, bilah sisi pada bahagian kemasukan udara hadapan, kemasan skirt sisi dan ekstraktor belakang.


Menjengah bahagian dalaman pula, Levante Trofeo memiliki pelbagai ciri elegan bagi memberikan persekitaran yang serba mewah.

Ia dilengkapi dengan kerusi sport ala bucket yang dibaluti kulit premium semula jadi “Pieno Fiore” yang asli yang tidak terdapat dalam industri automotif.


Ia diproses dalam beberapa tahun sebelum dengan dijahit benang warna kontras dan logo “Trofeo” yang disulam pada bahagian tempat letak kepala. Benang jahitan itu, turut menyamai warna kenderaan. Sebagai contoh, jika badan warna kuning, benang jahitan juga warna kuning.

Tombol rotari pada konsol di bahagian tengah bawah ialah komponen aluminium tempaan berkualiti tinggi yang menawarkan kawalan kekuatan audio dan fungsi sistem infotainment lain secara mudah.


Personaliti sport Trofeo Launch Edition lebih menyerlah dengan perincian dalaman baharu dengan kemasan gentian karbon kusam "3D Touch", penukar gear, grafik kelompok instrumen khas, pelapik kaki dengan lencana logam Trofeo dan jam Maserati dengan analog yang unik.

Kelengkapan dalaman disempurnakan dengan sistem audio premium Bowers & Wilkins 17 pembesar suara 1,280 watt. Setiap unit disediakan dengan lencana peribadi pada konsol tengah yang menampilkan Trident yang penuh lagenda serta logo Trefeo dan perkataan "one of 100”.


Bagi mekanikalnya, SUV itu adalah sama dengan Levante Trofeo yang menggunakan enjin 3.8 litre Twin Turbo V8 untuk memberikan 590 hp serta tork setinggi 730Nm. Ia menjadi enjin paling berkuasa yang pernah dipasang pada jentera Maserati. Levante Trofeo dilengkapi kotak gear automatik ZF lapan kelajuan yang digunakan pada semua versi Levante.

Dari segi prestasinya, SUV itu boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam hanya 3.9 saat dan kelajuan tertinggi pada 304 km/j dengan jarak membrek 34.5 meter sebelum berhenti sepenuhnya.


Untuk memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada, sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive (AWD) ditentukur dengan mod pemanduan CORSA dengan kawalan pelancaran yang baharu. Mod CORSA itu disediakan bersama dengan mod pemanduan Normal, I.C.E., Sport dan Off Road.

Sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive memberikan pengalaman pemanduan roda belakang yang termaju bagi memenuhi keperluan Levante Trofeo. Dalam keadaan pemanduan normal, Q4 menyampaikan 100 peratus daripada tork enjin kepada roda belakang.


Pada permukaan yang licin atau sekiranya berlaku kehilangan cengkaman pada bahagian belakang, sistem itu boleh mengubah pembahagian tork depan/belakang daripada 0:100 peratus kepada 50:50 peratus dalam masa 150 mili saat sahaja.

Mod pemanduan CORSA pula akan memberi respons enjin yang agresif pada input pendikit yang minimum dan bunyi deruman enjin Maserati yang garang selepas saluran terbuka luas selepas injap ekzos dibuka.


Kelebihan itu adalah eksklusif untuk Levante Trofeo dan diprogramkan bagi memberikan penukaran gear yang lebih pantas, paras ketinggian suspensi udara yang lebih rendah, redaman Skyhook yang lebih sport dan tetapan Intelligent Q4 Intelligent All-Wheel Drive yang dioptimumkan.

Apabila mod paling sport ini diaktifkan, sistem Traction Control (kawalan cengkaman) dan ESP dikurangkan untuk nikmat pemanduan yang maksimum.
Bukan itu sahaja, sistem Integrated Vehicle Control (IVC) buat pertama kali dipasang pada Levante untuk memberikan dinamik pemanduan yang terbaik, keselamatan aktif yang lebih tinggi dan prestasi terbaik.


Harganya pula, Maserati Levante Trofeo Launch Edition diperkenalkan di Malaysia ini dijual harga RM838,800.00 iaitu harga sebelum duti tempatan dan cukai.

Selain itu, ia ditawarkan dengan perlindungan 3 tahun Jaminan Standard tanpa sekatan perbatuan dengan program penyelenggaraan percuma untuk 3 tahun atau 60,000km.