Pada awal bulan ini, Acura baharu sahaja melancarkan NSX Type S untuk pasaran Amerika Syarikat di Car Week di Monterey, California.

Acura NSX Type S itu akan dihasilkan sebanyak 350 unit dan 300 unit daripadanya adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.


Jika mahu membuat tempahan sekarang, nampaknya ia sudah lambat kerana semua jentera itu habis dijual.

Dipetik dalam laporan motor1.com, 300 unit untuk pasaran Amerika Syarikat sudah habis ditempah dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka. Difaham ada masih lagi 100 senarai pelanggan yang dalam tempoh menunggu.


NSX Type S bukan sahaja dikeluarkan dalam unit terhad, tetapi ia mempunyai wajah yang agresif, selain didatangkan dengan penggunaan material gentian karbon.

Kuasanya yang menggunakan enjin 3.5 liter V6 hibrid mampu menyalurkan 600hp dengan tork setinggi 667Nm. Ia juga menggunakan pengecas turbo baharu serta kapasiti bateri lebih tinggi yang mana ia boleh dipandu dengan mod elektrik.


Kotak gear pula dipadankan dengan klac berkembar sembilan kelajuan yang mana ia memberi 50 peratus lebih cepat untuk pertukaran gear tinggi.

Sebelum ini, Acura NSX Type dengan nombor siri pertama dijual pada harga USD1.1 juta (RM4.6 juta) yang dijual secara bidaan.


Namun bagi harga biasa, ia dijual bermula USD169,500 (RM709,849), manakala USD182,500 (RM764,291) bagi versi pakej lightweight.