Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

4 tips penjagaan tayar supaya tahan lebih lama.

Public Anonymous User
19/07/2018 05:05 MYT

Memastikan tayar berada dalam keadaan baik adalah satu aspek penting dalam penjagaan kereta.

Penggunaan tayar yang bermasalah seperti botak dan sebagainya bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berbahaya kerana ia boleh menjadi punca kemalangan.

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan tayar berfungsi secara optimum dan tahan lebih lama.

1.Penggiliran tayar

Penggiliran tayar (tyre rotation) iaitu menukar tayar depan ke belakang dan sebaliknya dapat memastikan ‘wear and tear’ yang sama rata sekali gus memanjangkan jangka hayat.

Ini kerana tayar hadapan menanggung beban yang lebih besar dan akan menjadi haus dua kali ganda lebih cepat daripada tayar belakang. Penggiliran tayar harus dilakukan setiap 8,000 hingga 10,000km.

2.Tekanan angin

Ada dua sebab mengapa anda perlu pastikan tekanan angin tayar sentiasa cukup.

Pertama, ia dapat mengelakkan kerosakan pada permukaan dan sisi tayar dan kedua ia mempengaruhi tahap penggunaan bahan api.

Bagi mengetahui tekanan tayar yang sesuai untuk kereta anda, periksa manual pemilik atau label yang terdapat pada pintu sebelah pemandu.

3.Ketebalan bunga tayar

Selain untuk cengkaman, fungsi bunga tayar adalah menyingkirkan air di antara jalan dan permukaan tayar bagi mengelakkan berlakunya ‘aquaplaning’.

 Bagi memastikan jika tayar anda masih selamat untuk digunakan, periksa penunjuk bunga yang terdapat pada alur tayar.

Jika ia berada pada paras yang sama bunga tayar, sila tukar tayar anda dengan segera.

4.Penjajaran dan imbangan tayar (Alignment and balancing)

Kedua-dua proses ini perlu dilakukan jika terdapat tanda-tanda seperti kereta terasa tidak seimbang dan membelok ke kiri atau kanan walaupun stereng dalam keadaan lurus serta stereng bergetar pada kelajuan tertentu.

Bagaimanapun, jika anda masih ragu-ragu tentang keadaan tayar kereta anda, sila bawa kereta ke kedai tayar bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.