Suka atau tidak, kemalangan jalan raya sudah menjadi sesuatu yang biasa kita dengari.

Faktor utama kemalangan jalan raya adalah kecuaian manusia dan ini termasuk memandu dalam keadaan mengantuk.

Bagi mengelakkan kejadian itu, kami sediakan beberapa tips berguna bagi mengelakkan rasa mengantuk ketika memandu.

  1. Dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Pemandu terutamanya harus berada dalam keadaan segar dan tidak mengantuk sebelum memulakan perjalanan.
  2. Minum kopi, teh atau minuman isotonik. Minuman-minuman ini dikatakan boleh meningkatkan daya fokus selain membekalkan tenaga. Namun ia juga boleh mendatangkan kesan yang kurang baik jika diambil secara berlebihan.
  3. Selain kopi, sediakan juga snek dan makanan ringan seperti kekacang, gula-gula atau potongan buah kerana mengunyah dapat mengelakkan rasa mengantuk.
  4. Elakkan dari mengambil ubat-ubatan yang boleh mendatangkan kesan mengantuk. Jika terpaksa, serahkan tugas memandu kepada orang lain.
  5. Berbual-bual dengan ‘co-pilot’. Perjalanan yang jauh akan terasa lebih seronok dan cepat sekiranya anda berborak dengan penumpang lain. Walau apa pun topik yang dibincangkan, pastikan anda sentiasa fokus pada jalan raya.
  6. Pasang radio untuk mengelakkan rasa mengantuk dan sunyi. Pastikan lagu yang dipilih tidak mendayu-dayu dan kuatkan suara jika perlu.
  7. Buka tingkap. Bunyi angin yang kuat serta angin sejuk yang menerpa muka boleh membuatkan anda rasa segar semula.
  8. Berhenti berehat di hentian atau R&R. Bak kata orang, cara paling berkesan untuk menghilangkan rasa mengantuk adalah tidur. Jangan lupa untuk segarkan diri dengan membasuh muka sebelum menyambung perjalanan.
  9. Elakkan dari memandu selepas tengah malam sehingga subuh kerana badan dan otak sudah sedia maklum bahawa ini adalah waktu tidur anda. Selain itu, memandu pada waktu malam juga lebih berisiko.