Antarabangsa
ABT Antara Yang Terawal Untuk Melakukan Ubah Suai Audi RS7 Sportback
Diperkenalkan pada September tahun lalu, Audi RS7 Sportback generasi kedua bukan sahaja kelihatan sangat menggoda malah prestasinya juga mampu membuatkan mana-mana pemilik supercar tidak senang duduk.
Jadi tidak hairanlah syarikat-syarikat ‘tuner’ mula berebut untuk memperkenalkan pakej naik taraf masing-masing. Dan seperti biasa, ABT menjadi antara yang terawal untuk menunjukkan kemampuan mereka dalam menala jentera Audi ini.
Dikenali sebagai RS7-R, coupe lima pintu ini mempunyai 740hp dan 920Nm yang diperoleh hasil dari talaan yang dilakukan pada enjin twin-turbo 4.0-liter V8.
Namun harus diingatkan bahawa RS7 standard dengan 600hp dan 800Nm pun sudah cukup pantas dengan masa pecutan 0-100km/h dalam 3.6 saat.
Selari dengan tahap prestasinya yang tinggi, ABT turut meningkatkan penampilan jentera ini dengan penambahan bibir spoiler dan ‘canard’ pada bampar hadapan, ‘diffuser’ gentian karbon yang menempatkan empat muncung ekzos dan spoiler belakang.
Gabungan rim berukuran 22 inci dan sistem suspensi yang lebih rendah memberikan RS7-R penampilan yang agresif.
Sementara itu, ruang kabin turut diberikan suasana segar dengan penggunaan lebih banyak kemasan gentian karbon dan upholsteri kulit.
Lencana nombor siri diletakkan pada bahagian konsol tengah. Seperti yang anda boleh lihat, unit yang ditampilkan ini disiapkan khas untuk pelumba dari Jerman, Daniel Abt. Apa yang menarik, ini bukan pakej pertama yang dibangunkan oleh ABT khas untuk RS7 baharu.
Pada Januari lalu, syarikat itu memperkenalkan pakej naik taraf yang menawarkan kuasa 690hp dan rim aero 22 inci. Bagi pakej RS7-R, ABT hanya menawarkan 125 unit kesemuanya.
Must-Watch Video