
Seperti hasil-hasil tangan ABT yang terdahulu, jentera ini tampil dengan penambahbaikan
aerodinamik dan juga prestasi.
Bercakap tentang prestasi, talaan pada unit kawalan enjin (ECU) dan penggunaan sistem ambilan udara baharu membolehkan enjin biturbo 2.9-liter V6 itu menjana
510PS dan
660Nm, iaitu 60PS dan 60Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Peningkatan kuasa ini dicerminkan menerusi prestasi
pecutan 0-100km/j yang berkurang dari 4.1 kepada 3.9 saat.
Jika angka terbabit dirasakan tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pakej ABT Power S yang boleh meningkatkan kuasa enjin kepada 530PS dan 680Nm. Masa pecutan tidak didedahkan, namun menurut ABT, jentera yang menggunakan pakej tambahan tersebut boleh memecut sehingga 300km/j.

Penambahan kuasa yang signifikan itu tidak bermakna jika casis tidak dinaik taraf. Oleh itu, ABT turut menyertakan gegelung boleh laras serta ‘anti roll bar’ pada gandar hadapan dan belakang. Bagi pengendalian yang lebih mantap, syarikat itu turut menawarkan suspensi ‘coilover’ dengan caj tambahan.

Dari segi aerodinamik pula,
pakej ABT Aerokit yang disertakan pada RS4-S merangkumi ‘lip’ dan bilah bampar hadapan, spoiler dan skirt belakang yang diperbuat daripada CFRP serta rim aloi ABT Sport GR berukuran 21 inci.

Sistem ekzos keluli tahan karat dengan muncung gentian karbon berukuran 102mm menghasilkan bunyi yang lebih sedap didengar.

Untuk bahagian dalaman pula terdapat logo ‘RS4-S’ pada tempat duduk, ambang pintu dan karpet. Turut ditawarkan adalah
kemasan gentian karbon pada tempat duduk, papan pemuka dan juga roda stereng.