Antarabangsa

AC Schnitzer dah pandai bikin Toyota Supra A90

Erywan
05/12/2019
01:25 MYT
Berpangkalan di Aachen, Jerman, AC Schnitzer adalah nama yang begitu sinonim dengan BMW dan MINI.
Kini syarikat talaan itu mengembangkan portfolio produknya dengan memperkenalkan pakej naik taraf untuk Toyota Supra A90, sebuah model yang terhasil daripada kerjasama antara Toyota dan BMW. Bagi meningkatkan ciri aerodinamiknya, AC Schnitzer melengkapkan Supra dengan splitter hadapan dan spoiler GT yang diperbuat daripada gentian karbon.
Rim lima batang berukuran 20 inci yang dibalut tayar bersaiz 255/30 di hadapan dan 275/30 di belakang, serta pemegang nombor plat eksklusif turut disertakan. Untuk kabinnya, terdapat pedal penukar gear aluminum dan set pedal aluminium, serta tombol kawalan sistem iDrive yang diperbuat daripada bahan yang sama.
Penampilan Supra yang lebih agresif ini pasti akan menarik perhatian ramai, namun apa yang akan membuatkan pemilik betul-betul gembira adalah jumlah kuasanya yang lebih tinggi. Enjin B58 3.0-liter enam silinder sebaris yang tersimpan di bawah hud kini menjana 400PS dan 600Nm, peningkatan sebanyak 60PS dan 100Nm jika dibandingkan dengan model standard.
AC Schnitzer bagaimanapun tidak menyatakan masa pecutan 0-100km/j dan juga kelajuan maksimum jentera talaannya ini. Untuk perbandingan, Supra standard boleh melakukan pecutan tersebut dalam 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j. Sesuai dengan kuasanya yang sudah dipertingkatkan, jentera ini turut hadir dengan sport silencer kit yang dikatakan dapat menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan mengujakan. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkannya dalam versi keluli tahan karat atau gentian karbon.
Selain itu, AC Schnitzer turut menawarkan sistem suspensi RS dengan lantunan (rebound) dan mampatan (compression) boleh laras. Sistem suspensi itu boleh direndahkan sebanyak 25mm, tetapi pada masa yang masih menawarkan pemanduan yang selesa.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video