Antarabangsa
Aston Martin DBS Superleggera versi James Bond, tiada senjata disediakan!
Aston Martin memperkenalkan DBS Superleggera edisi terhad sebagai tanda sambutan ulang tahun ke-50 filem James Bond ‘On Her Majesty’s Secret Service’ (OHMSS) yang dibintangi oleh George Lazenby.
Aston Martin DBS Superleggera OHMSS diinspirasikan oleh DBS keluaran 1969 yang ditampilkan dalam filem itu, 50 unit model berkenaan dijangka memasuki pasaran menjelang akhir tahun ini dengan harga £300,007 (RM1.59 juta).
Apa yang menjadikan DBS Superleggera OHMSS lebih istimewa berbanding versi biasa adalah warna eksklusif Olive Green dan rekaan jeriji sama seperti yang digunakan pada DBS dalam filem itu. Rim dengan reka bentuk yang kompleks pula memberikan supercar ini penampilan yang lain dari yang lain.
Selain itu, ia didatangkan dengan splitter dan bilah aero yang diperbuat daripada gentian karbon dan juga bilah liang udara sisi dengan tulisan “OHMSS Edition”.
Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit berwarna hitam dengan padanan Alcantara berwarna kelabu. Sementara itu, perincian berwarna merah adalah sebagai penghormatan kepada kemasan ‘glove box’ di dalam DBS 1969 di mana senapang James Bond disimpan.
Setiap unit didatangkan dengan bekas minuman yang boleh disimpan di dalam ruang but. Ia boleh menyimpan dua botol champagne dan empat biji gelas.
Seperti versi standard, DBS Superleggera OHMSS menampilkan enjin twin-turbo 5.2-liter V12 dengan kuasa 725PS dan 900Nm. Kotak gear automatik lapan kelajuan membolehkan jentera pacuan roda belakang ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.4 saat.
Must-Watch Video