Antarabangsa

Audi TTS Competition Plus, Dihasilkan Untuk Menonjolkan Lagi Imej Sporty

gempak
Erywan
26/11/2020
04:30 MYT
Sponsor Banner
Audi TTS Competition Plus, Dihasilkan Untuk Menonjolkan Lagi Imej Sporty
Audi mengemaskini barisan model TTS dengan memperkenalkan enjin yang lebih berkuasa dan versi Competition Plus. Sebagai sebahagian daripada kemas kini 2021, syarikat itu turut mengumumkan trim Bronze Selection yang bergaya untuk TT dan TTS.
Dihasilkan untuk menonjolkan lagi imej sporty TTS, versi Competition Plus didatangkan standard dengan lampu hadapan LED, logo empat gelung Audi pada bahagian sisi, cermin privasi (model Coupe sahaja), angkup brek berwarna merah dan rim 20 inci berwarna hitam berkilat. Terdapat empat pilihan warna yang ditawarkan iaitu Chronos Grey, Glacier White, Tango Red dan Turbo Blue.
Ruang kabin dihiasi upholsteri kulit Nappa hitam dengan jahitan kontras dalam warna Express Red atau Ara Blue, serta penyudah karbon dan trim krom pada papan pemuka. Turut disertakan adalah perincian berwarna Tango Red atau Turbo Blue di sekeliling corong pendingin hawa, balutan material Alcantara pada tuil gear, stereng ‘flat bottom’ dan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci.
Tersimpan di bawah hud TTS Competition Plus adalah enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang sudah ditala bagi menghasilkan 320PS, iaitu 14PS lebih tinggi berbanding sebelum ini. Dengan jumlah tork yang tidak berubah iaitu 400Nm, versi Coupe boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 4.5 saat, manakala versi Roadster memerlukan 4.8 saat. Kelajuan maksimum bagi kedua-duanya adalah 250km/j.
Seperti sebelum ini, TTS dilengkapi dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan, sistem pacuan semua roda Quattro dan penyerap hentak magnetik secara standard. TTS Competition Plus akan dijual di pasaran Eropah bermula bulan ini pada harga EUR61,000 (RM297,020) untuk Coupe dan EUR63,700 (RM310,166) untuk Roadster.
Sementara itu, trim Bronze Selection menampilkan perincian berwarna gangsa pada tempat duduk, konsol tengah dan corong pendingin hawa, berserta jahitan kontras tembaga pada tempat duduk. Untuk bahagian luaran pula, pelanggan boleh memilih antara warna Chronos Grey, Glacier White dan Mythos Black untuk dipadankan dengan rim 20 inci V-spoke tembaga itu. Gril sarang lebah pada model ini didatangkan dalam warna hitam berkilat pada TT dan hitam titanium matte pada TTS.
Di samping lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, pakej Bronze Selection turut menyertakan sistem audio B&O, kemasan inlay aluminium dan upholsteri kulit dengan jahitan kontras sebagai kelengkapan standard. Pakej ini berharga EUR6,190 (RM31,140) untuk TT dan EUR 4,490 (RM21,862) untuk TTS.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live