Acara tahunan Volkswagen Fest kini kembali untuk tahun ketiga dan menjanjikan tawaran terbaik serta keterujaan daripada Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Berlangsung mulai 30 Ogos hingga 1 September 2019 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor acara utama pada tahun ini ialah pelancaran “Das Welt Auto”, kenderaan terpakai yang diiktiraf sendiri oleh Volkswagen. Model Arteon yang sememangnya ditunggu-tunggu juga akan dipamerkan di acara berkenaan.

Pengunjung berpeluang untuk memandu uji pelbagai model Volkswagen, menikmati rebat dan tawaran hebat ke atas kereta baharu serta terpakai.

Tawaran hebat itu termasuklah rebat Baucar Merdeka sebanyak RM1,000 bagi semua tempahan yang dibuat pada acara itu dan “Starbuys” seperti model Passat Comfortline 1.8TSI pada harga RM114,888.

Promosi juga ditawarkan ke atas rangkaian model Tiguan dan Passat yang kini hadir dengan penyelanggaraan lanjutan percuma dari tiga tahun kepada lima tahun. Di samping kadar faedah serendah 1.88% setahun untuk pembeli kereta baharu sebelum 31 Disember 2019.

Terdapat tiga kawasan khas yang boleh dikunjungi oleh orang ramai. Kawasan Volks Auto wajar dikunjungi oleh mereka yang mahu melihat dan memandu uji model-model Volkswagen.



Ia juga memberi kemudahan kepada mereka yang ingin menjual kenderaan sedia ada dan mendapatkan sebuah Volkswagen. Khidmat penilaian kereta secara percuma dan pemeriksaan pinjaman yang pantas oleh sebuah bank panel pasti membantu dalam permohanan pinjaman.

Pemilik kenderaan yang sudah mendaftar secara dalam talian boleh memeriksa kereta mereka secara percuma dan mengetahui promosi servis yang ditawarkan di ruang Selepas Jualan.

Ruang Volks Lawn akan dipenuhi oleh pameran kereta klasik dan terkini Volkswagen, aktiviti menaiki belon udara panas, hiasan seni yang mencantikkan lagi foto Instagram anda serta stesen permainan interaktif yang pastinya disukai oleh seisi keluarga.

Sementara kawasan Volks Park pula lokasi terbaik untuk pengunjung menikmati hidangan yang ditawarkan oleh trak makanan. Terdapat juga Kombi Bazaar dan persembahan busker yang menjadikannya tempat terbaik untuk relaks dan bertenang.