Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Berita Baik Pemilik RX-7, Mazda Hasilkan Semula Alat Ganti Kenderaan Itu

Erywan
11/01/2021 03:53 MYT
Ada berita baik untuk peminat dan pemilik Mazda RX-7. Atau pengusaha bengkel yang sukar mendapatkan alat ganti untuk kereta sport enjin rotari Jepun ini.

Nampaknya Mazda di Jepun sudah mengumumkan rancangan menghasilkan semula dan menjual alat-alat ganti tulen untuk kenderaan anda.

Khabar berita dari Hiroshima ini menyatakan Mazda akan mula usaha berkenaan hasil dan jual alat ganti RX-7 pada Februari 2021.

Walaupun bukannya setiap satu komponen yang ada pada RX-7 akan dihasilkan tetapi sekurang-kurangnya ada laluan untuk mendapatkan alat ganti tulen.

Menurut Mazda, tawaran ini cuma membabitkan model generasi kedua Savannah RX-7 (keluaran tahun 1985 hingga 1992) dan generasi ketiga RX-7 (tahun 1991 hingga 2002).

Alat ganti yang dihasilkan semula ini adalah mengikut permintaan paling tinggi daripada pelanggan dan akan dikeluarkan menerusi kerjasama dengan setiap pembekal komponen.


Ada satu senarai lengkap dipaparkan pada laman web Mazda.co.jp tetapi teks tulisan dan label pula dalam paparan bahasa Jepun.

Anda cuma perlu tahu nombor komponen yang diinginkan dan membuat pesanan. Mungkin boleh mendapatkan bantuan terus daripada pihak Mazda untuk tujuan ini.

Sebagai permulaan, Mazda akan menghasilkan dan menjual 30 jenis alat ganti untuk model kedua RX-7 dan sebanyak 61 jenis alat ganti untuk model generasi ketiga.

Usaha ini berkembang daripada inisiatif program restorasi Mazda MX-5 Miata yang mula-mula diperkenalkan pada 2017. Mungkin selepas ini, projek akan diluaskan lagi atau lebih banyak komponen baharu akan ditambah dalam senarai pilihan.

#Mazda