Memperbaharui komitmennya terhadap perkhidmatan selepas jualan, Volvo Car Malaysia melancarkan program jaminan baru yang dikenali sebagai ‘Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat Untuk Pelanggan’.

Di bawah program jaminan itu, pelanggan yang membeli dan memasang alat ganti tulen Volvo melalui wakil pengedar sah Volvo mulai 1 Oktober 2021 akan layak untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Jaminan itu bermula pada tarikh pembelian alat ganti kereta dan sah selagi kereta berkenaan berada di bawah hak milik pemilik kereta yang didaftarkan.

Sekiranya pelanggan memerlukan pembaikan atau penggantian mana-mana bahagian Volvo yang tulen kerana kerosakan bahan atau pembuatan, Volvo Car Malaysia akan membaik pulih dan mengganti alat ganti itu secara percuma.

Bagi pelanggan yang memiliki model lama yang tidak mengunjungi wakil pengedar Volvo lebih dari dua tahun, mereka perlu membawa kereta untuk menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo (Volvo Health Check).

Ia membolehkan pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam program jaminan berkenaan, sambil memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai dengan apa cara sekalipun.

Pelanggan kemudiannya boleh membeli alat ganti di bawah program jaminan itu dan diminta untuk menghantar kereta ke mana-mana pengedar sah Volvo untuk perkhidmatan servis pada masa akan datang bagi memastikan jaminan berkenaan sah digunakan.

Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan (Customer Lifetime Parts Warranty) tidak termasuk alat ganti haus dan lusuh seperti yang dinyatakan dalam manual jaminan. Anda boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skop keseluruhan bahagian yang dilindungi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan, anda boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo atau mengikuti Volvo Car Malaysia di laman media sosialnya.