Antarabangsa
BMW 4 Series Coupe Hadir ‘Kidney Grille’ Yang Sangat Besar
BMW 4 Series generasi kedua (G22) diperkenalkan secara rasmi dan seperti yang diperlihatkan menerusi model Concept 4 pada tahun lalu, model dua pintu itu hadir dengan jeriji ‘kidney grille’ yang sangat besar.
Walaupun mengundang pelbagai kontroversi dan kecaman, tidak dinafikan rekaan jeriji itu memberikan 4 Series penampilan yang unik dan lebih menonjol. Ia bukan sekadar gaya kerana bukaannya yang besar berfungsi untuk menyalurkan lebih banyak udara ke dalam ruang enjin.
Bercakap tentang enjin, kedua-dua varian 420i dan 430i hadir dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipertingkatkan dengan kuasa sebanyak 184hp/300 Nm dan 258hp/400 Nm. Varian 420i boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 7.5 saat manakala varian 430i melakukannya dalam 5.8 saat. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian ini adalah 250km/j.
Varian tertinggi bagi petrol adalah M440i xDrive yang dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder yang dibantu oleh teknologi mild-hybrid 48 volt. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 374hp dan 500Nm, ia boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam hanya 4.5 saat.
Selain itu, 4 Series ditawarkan dengan pilihan enjin diesel dalam varian 420d dan 420d xDrive (190hp/400Nm), 430d xDrive (286hp/650Nm) dan M440d xDrive (340hp/700Nm) sebagai varian paling berkuasa.
Kedua-dua varian 420d menampilkan enjin 2.0-liter empat silinder manakala varian 430d dan M440d menampilkan enjin 3.0-liter enam silinder. Kesemua varian diesel dilengkapi dengan teknologi mild-hybrid 48 volt.
Berbeza dengan rekaan luarannya yang unik, ruang dalaman 4 Series tidak jauh berbeza dengan 3 Series. Sistem infotainmennya dijana oleh sistem operasi BMW 7.0 yang boleh diakses menerusi paparan 10.25 inci pada konsol tengah dan kluster instrumen digital 12.3 inci. Antara ciri baharu yang diperkenalkan adalah sistem navigasi berasaskan awan dan Head-up Display dengan paparan yang 70 peratus lebih besar.
Bagi sistem keselamatan, ciri-ciri seperti Front Collison Warning dengan Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning dengan Steering Assist dan Speed Limit Information dibawa dari 3 Series ke model ini. Park Distance Control dengan sensor hadapan dan belakang turut dilengkapkan secara standard. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan Parking Assistant, Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.
Must-Watch Video