BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan BMW R 18 terbaharu dengan membuat kemunculan dalam segmen kruiser bagi pasaran tempatan.

Kruiser itu meminjam beberapa elemen daripada model terkenal seperti BMW R5 dari penampilan, tetapi menerapkan dengan teknologi moden daripada jurutera dari Jerman.

Varian First Edition yang eksklusif ini menggunakan enjin boxer dua silinder sejukan udara bersesaran 1,802cc yang mampu menyalurkan output 91hp dengan tork maksimum 158Nm. Kelajuan tertingginya boleh mencecah 180km/j.


Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac kering enam kelajuan, selain hadir dengan gear mengundur. Berat jentera ini, boleh mencecah 345kg, agak berat!


Sistem pencucuhan pula menggunakan ciri percikan berkembar yang membantu sistem suntikan bahan api elektronik yang menjanjikan penggunaan bahan api serendah 5.6 liter/100 km.


Sistem suspensi pula adalah jenis fork teleskopik klasik dengan sarung fork dan strut cantilever, manakala di bahagian belakang pula dalah jenis steel swinging fork dengan strut hentakan tengah. Bagi memberi pengendalian yang berbeza, R 18 itu mempunyai tiga mod tunggangan ditawarkan iaitu Rock, Roll dan Rain.


Kuasa hentiannya diserahkan kepada angkup brek empat omboh dengan dua cakera 300 mm di hadapan dan cakera tunggal di bahagian belakang, serta dibantu dengan Integral Anti-lock Braking System, Automatic Stability Control (ASC).


Kruiser mewah ini turut dibekalkan pencahayaan yang jelas dengan lampu hadapan LED penuh serta lampu belakang LED. Tangkinya pula lebih besar dengan kapasiti 16 liter dengan berbentuk titisan air.


Seperti yang diberitahu, BMW R 18 untuk pasaran Malaysia boleh didapati dalam versi First Edition. Setiap pembelian BMW R 18 turut didatangkan ‘Welcome Pack’ yang mempunyai tiga logo BWM lama, topi, sarung tangan dan pemutar skru.


Harga jualan BMW R 18 First Edition bermula dari RM149,500 atau bulanan serendah RM2,411 menerusi pelan pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia yang tertakluk kepada pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun.