Sekali imbas, BMW X5 Protection VR6 ini tampak sama sahaja seperti mana-mana varian X5 yang lain, tetapi pada hakikatnya ia mampu menahan peluru sebesar 7.62 x 39 seperti digunakan senapang AK-47.

Bukan itu sahaja, SUV ini juga cukup kukuh untuk menahan letupan daripada bom TNT seberat 15kg yang diletupkan dari jarak 4 meter dari kenderaan.



Bagi mendapatkan tahap perlindungan yang tinggi ini, BMW menggunakan panel keluli berkekuatan tinggi pada bahagian pintu, bingkai sisi, bumbung dan ‘firewall’, di samping kepingan aluminium pada bahagian bawah kenderaan dan but.

Kaca setebal 33mm turut dipasang pada bahagian hadapan, sisi dan belakang untuk perlindungan daripada senjata tangan. Lapisan polikarbonat memastikan kaca-kaca ini tidak berkecai bagi melindungi penumpang di dalam.



Untuk perlindungan tambahan, pelanggan boleh memesan perisai tambahan pada bahagian bawah kenderaan yang dapat menahan letupan bom tangan. Perisai bumbung turut ditawarkan dan ini dikatakan dapat melindungi penumpang daripada dron yang membawa bahan letupan C4 seberat 200gram.

Dari segi teknikal, enjin twin-turbo 4.4-liter V8 dengan hamburan kuasa sebanyak 523hp dan 750Nm memastikan X5 ini dapat meloloskan diri dari kawasan serangan dengan segera.



Walaupun dilengkapi dengan pelbagai lapisan perlindungan, SUV ini masih dapat memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 5.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 210km/j.

Menurut BMW, sistem suspensi dan brek sudah dinaik taraf bagi memastikan model ini beraksi dengan baik walaupun di bawah keadaan yang ekstrem.



Bukan itu sahaja, bahagian dinding tepi tayar diperkukuhkan, manakala tangki minyak mempunyai sistem perlindungan unik bagi mengelakkan kebocoran. Sekiranya berlaku pelanggaran, enjinnya juga tidak akan dimatikan.