Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Bugatti jadi milik Rimac?

Erywan
22/09/2020 07:53 MYT
Timbul beberapa laporan daripada pelbagai sumber di Eropah bahawa Bugatti mungkin dijual kepada pembuat kereta Croatia, Rimac dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, semua perkara ini belum disahkan oleh pihak-pihak berkaitan tetapi khabar angin semakin bertiup kencang. Jika menjadi kenyataan, segmen kenderaan elektrik pasti menyaksikan pembaharuan lebih signifikan.

Rimac, syarikat yang diasaskan Mate Rimac mahu mengambil alih Bugatti daripada Volkswagen Group.


Ramai tahu sejak beberapa tahun lalu, Volkswagen sudah mengambil alih banyak syarikat termasuk Lamborghini dan Ducati. Bugatti adalah jenama paling agung, tetapi bukan satu bisnes paling utama kepada kumpulan itu.

Rimac pula terbabit dalam pembinaan hypercar elektrik seperti Concept One. Bagaimanapun, mereka juga membekalkan kepakaran dalam bidang kenderaan elektrik (EV) kepada banyak syarikat lain termasuk Koenigsegg, Aston Martin dan Porsche.

Porsche ialah satu daripada jenama bawah Volkswagen Group dan kemunculan kereta sport elektrik Taycan menandakan ada kecenderungan kumpulan itu terhadap EV berprestasi. Sebelum terlupa, Porsche juga mempunyai sedikit pegangan tetapi tetap signifikan dalam Rimac.


Porsche dan Rimac mengimpikan satu kerjasama pembangunan, dengan Rimac memainkan peranan utama sebagai pembekal komponen dan kepakaran kepada industri lebih luas dan ini termasuk Porsche.

Dengan kewujudan hubungan sedia ada, media penerbitan Britain iaitu CAR membuat spekulasi bahawa Bugatti akan ke Rimac, manakala Porsche akan mengambil alih pegangan lebih besar dalam syarikat Croatia itu (Rimac).

Setakat ini, kedua-dua pihak tidak mahu membuka mulut dan memilih kenyataan 'no comment'.

#Bugatti