Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan tiga barisan model kompak AMG menerusi Mercedes-AMG A35 Edition 1, A45 S Edition 1 dan CLA 45 S.

Ketiga-tiga model itu menampilkan ciri baharu dari segi reka bentuk, enjin dan berprestasi yang disasarkan kepada golongan muda.

Bagi model yang paling mahal dalam keluarga kelas A ini adalah A45 S Edition 1 selepas ditawarkan pada harga RM459,888 diikuti CLA 45 S (RM448,888) dan A35 Edition 1 (RM379,888).


Mercedes-AMG A45 Edition 1


Ia menggunakan enjin M139 yang baru dibangunkan, sekali gus menjadi enjin empat silinder turbocas paling berkuasa pernah dihasilkan. Enjin berkenaan dipasang menggunakan tangan dengan pendekatan “One Man, One Engine” di Affalterbach.


Pembaharuan pada enjin itu membabitkan manifold ekzos dan pengecas turbo kini ditempatkan lebih ke belakang, sementara sistem intake pula di depan.

Kuasa enjin 2.0 liter itu meningkat 40hp berbanding sebelum ini yang kini berjumlah 421hp dengan tork 500Nm.


Tenaga yang dihasilkan disalurkan transmisi transmisi AMG Speedshift DCT-8G klac berkembar baru dengan lapan-kelajuan. Ia juga dilengkapi dengan pacuan semua roda iaitu dipanggil 4Matic+ .

Dari segi prestasinya, ia boleh memecut 0-100km/j dalam kurang 4 saat dengan kelajuan maksimum 270km/j.


Luarannya, ia menerima kombinasi kemasan Night Package yang mana ia dilengkapi kemasan hitam dan boleh dilihat pada bahagian bampar, sisi, cermin sisi dan belakang untuk menyerlahkan lagi imejnya.

Perbaharuan lain, ia turut dilengkapi lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus untuk kawalan secara automatik bagi ketinggian pencahayaan.


Mercedes-AMG A35 Edition 1


Model ini buat kali pertama diperkenalkan pada umum pada Paris Motor Show pada 2018 yang juga boleh dikatakan sebagai adik kepada A45.


Dari segi kuasanya, ia turut menggunakan enjin 2.0 liter, tetapi prestasi sedikit berkurang daripada A45 yang mana hanya mampu menyalurkan 306hp dengan 400Nm.

Kuasa itu disalurkan ke transmisi AMG Speedshift DCT 7 kelajuan dimana ia boleh memecut 0-100km/j 4.7 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 250km/j.


Biarpun turut dilengkapi dengan ‘Night Package’, penampilannya agak berbeza dengan A45 yang boleh dilihat pada jeriji. Ini kerana bagi A45 ia menggunakan jeriji Panamericana dengan rekaan bilah menegak serta kehadiran bukaan udara yang besar pada bampar.


Rimnya juga tidak menggunakan warna hitam, tetapi disaluti perak dan dilengkapi pelekat pada bahagian sisinya.


Mercedes-AMG CLA 45 S.

Jika tidak mahu bentuk hatchback, AMG CLA 45 S mungkin menjadi pilihan anda. Jentera ini boleh dikatakan abang kepada AMG CLA 35 yang dilancarkan pada hujung tahun lalu bagi pasaran Malaysia.


Bagaimanapun, varian coupe ini tidak ditawarkan dengan versi Edition 1 seperti model AMG A45 S.

Pada peringkat global ia ditawarkan dengan varian iaitu standard dan S. Namun, bagi pasaran Malaysia ia hanya dibawa bagi satu varian S sahaja.


Dari segi prestasinya, ia berkongsi dengan model A45 S yang menggunakan enjin 2.0 liter untuk menyalurkan output 421 PS dan tork maksimum 500 Nm.

Apa keunikan jentera ini adalah sama seperti dengan A45 S. Kini pemandu boleh mengakses Drift Mode pada kedua-dua model itu dengan memasuki mod RACE, hanya jika ciri ESP dimatikan dan mod transmisi ditukar kepada manual.


Aspek pengendaliannya terdiri daripada sistem suspensi MacPherson untuk gandar hadapan diikuti oleh sistem suspensi 4-link di bahagian belakang.

Ciri opsyen sistem penyerap hentak adaptif AMG Ride Control pula membolehkan pemandu memilih sehingga tiga mod berbeza bermula dari pemanduan yang selesa kepada lebih sporty.


Sistem ini beroperasi secara automatik dan mampu memberikan reaksi kepada setiap pergerakan roda (bergantung kepada mod dan kondisi jalan) dalam masa milisaat sahaja.

Bagi ketiga-tiga model AMG itu, MBM menawarkan skim pembiayaan dengan bayaran bulanan lebih rendah iaitu Mercedes-Benz Agility Financing yang menjamin nilai kereta anda pada masa hadapan.


Turut ditawarkan skim AMGPro Financing yang diberikan tambahan Star Protect Plus yang akan menerima faedah lain seperti premium insuran kenderaan komprehensif, khidmat tundaan tanpa had jarak kilometer, penukaran tayar dan rim dan lain-lain lagi.

Bagi skim AMGPro Financing, bayaran bulan bagi AMG CLA 45 S adalah RM5,688, manakala AMG A35 adalah RM4,688 dan RM5,588 untuk AMG A45 S.