Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Chevrolet Corvette Stingray C8 Pertama Dengan Nombor Casis #001 Berjaya Dijual RM12.18 juta

Erywan
28/01/2020 04:31 MYT
USD3 juta (RM12.18 juta). Itulah harga Chevrolet Corvette Stingray C8 pertama yang dibida oleh CEO Hendrick Companies, Rick Hendrick, pada acara lelongan Barrett-Jackson Scottsdale yang ke-49 baru-baru ini.

Bagaimanapun, kereta yang mempunyai nombor casis #001 itu hanya akan siap dibina dalam masa beberapa minggu lagi. Ia akan tampil dengan luaran dan dalaman berwarna hitam, lengkap dengan trim 3LT dan pakej prestasi Z51 yang merangkumi pelbagai kelengkapan tambahan termasuk perakam data prestasi dan kerusi GT2.

Unit berwarna merah yang dipaparkan ini dibawa hanya untuk tujuan pameran pada acara lelongan tahunan berkenaan.

Diperkenalkan buat pertama kali pada Julai tahun lalu, Corvette Stingray C8 adalah model Stingray yang pertama yang tampil dengan konfigurasi enjin tengah (mid-engine). Enjin 6.2-liter V8 itu menghasilkan 495hp dan 637Nm, membolehkan jentera itu melakukan pecutan 0-100km/j dalam kurang tiga saat jika dilengkapi dengan pakej Z51.

Berbalik kepada Hendrick, beliau bukan sahaja memilik sebuah pasukan NASCAR, malah mempunyai koleksi yang terdiri daripada beberapa buah kereta unit pertama seperti Ford GT Heritage Edition 2019 yang dibida dengan harga $2.5 juta (RM10.15 juta).

Selain itu, beliau juga memiliki sebuah Chevrolet Camaro ZL1 1LE, Acura NSX, Corvette Stingray C7, Stingray C7 Z06 dan Stingray C7 ZR1, semuanya unit pertama.

Dana yang diraih pada acara lelongan itu akan disalurkan kepada Detroit Children’s Fund yang menumpukan kepada pembangunan sekolah-sekolah di sekitar Detroit.


;