PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terpaksa menunda tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS dan LPT2 yang dijadualkan bermula 1 April ini.

Ketika penularan wabak Covid-19, keselamatan dan kesihatan kakitangan PLUS termasuk pelanggan lebuh raya adalah menjadi keutamaan.

Oleh itu, semua ujian dan kerja progresif berkaitan sistem berkenaan dihentikan sementara di bawah “Perintah Kawalan Pergerakan” (MCO).

Semua persiapan untuk memastikan persediaan RFID di semua lebuh raya kendalian PLUS akan bersambung sejurus selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Apabila siap kelak, semua 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya PLUS dan 10 plaza tol di LPT2 (Lebuhraya Pantai Timur 2) akan dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tol menggunakan RFID.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, Perintah Kawalan Pergerakan adalah langkah penting untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada kakitangan, malah kepada semua rakyat Malaysia daripada risiko Covid- 19.

“Berdasarkan prinsipal ini, kami membuat keputusan untuk menjadualkan semula pelaksanaan pembayaran tol menerusi RFID di Lebuh raya PLUS dan LPT2 ke tarikh yang baru yang akan diumumkan selepas tempoh arahan ini selesai,” katanya.

PLUS juga ingin mengingatkan semua pelanggan supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan dan terus berada di rumah bagi membendung penularan Covid-19, untuk keselamatan diri dan keluarga.