Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Covid-19: MV Agusta Akhirnya Akur Perintah Untuk Tutup Operasi Kilang

Erywan
01/04/2020 04:10 MYT
Minggu lalu, MV Agusta membuat kejutan dengan mengumumkan keputusan untuk meneruskan operasi pengeluran motosikal pada ketika hampir semua pemain industri di dunia menutup kilang.

Kilang MV Agusta itu ialah di Varese, terletak di wilayah Lombardy di Itali yang tergolong dalam antara kawasan paling teruk dicemari wabak pembunuh Covid-19.

Keputusan itu dibuat selepas mencapai persetujuan dengan wakil pekerja dan kilang akan terus beroperasi dengan pematuhan penuh langkah-langkah larangan dan kuarantin di Itali berkait epidemik kesihatan.

MV Agusta menyatakan kilang akan beroperasi dengan keputusan mengurangkan tenaga kerja dan beberapa langkah diambil bagi mencegah serta mengekang penularan virus. Ini termasuk memberi topeng muka, sarung tangan, gel sanitizer dan bahan peluntur kepada pekerja selain melarang mereka berhimpun.



“Kami percaya ia adalah tanggungjawab untuk tidak menyerah kalah dalam situasi krisis. Supaya ekonomi komuniti ini boleh pulih selepas darurat tamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Timur Sardarov.

Minggu ini, MV Agusta nampaknya mengubah semula keputusan asal dan memilih untuk menutup kilang selepas Perdana Menteri Itali mengumumkan sekatan lebih ketat pada malam Ahad minggu lalu berhubung langkah pencegahan dan mengekang pandemik Covid-19.

Pekerja akan mengosongkan keberadaan di kilang MV Agusta manakala semua peranan serta tugas pentadbiran dan bukan pengeluaran akan dilakukan dari kediaman para petugas.

"Keselamatan pekerja kami dan pematuhan kepada semua peruntukan kerajaan adalah keutamaan nombor satu kami," kata Timur Sardarov.

Sehingga 26 Mac lalu, Itali sudah ada 80,539 kes jangkitan Covid-19 dan 8,215 kematian.