Antarabangsa

Covid-19: Perodua Sumbang RM2 Juta Kepada Tabung Covid-19

Erywan
04/04/2020
06:53 MYT
Perodua turut menyertai usaha melawan wabak COVID-19 dengan menyumbang RM2 juta kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Selain sumbangan tunai, Perodua juga menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh untuk membantu perjuangan menentang pandemik ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, perjuangan menentang COVID-19 adalah tanggungjawab yang dipikul semua.
“Sumbangan bekalan dan tunai oleh Perodua adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu Malaysia dapat pulih secepat mungkin,” katanya.
Zainal menyampaikan sumbangan tunai kepada Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Menurut laporan media, Tabung COVID-19 NADMA dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11hb Mac 2020 bagi menolong rakyat yang paling memerlukan bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang bermula 18 Mac 2020.
Berdasarkan laporan, kumpulan sasaran tabung ini termasuk mereka yang tiada pekerjaan serta yang paling terkesan akibat MCO.
Kerajaan juga telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat baru-baru ini. Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas langkah-langkah itu.
“Perodua, bersama dengan seluruh rakyat Malaysia, berharap pandemik ini akan selesai dalam masa yang terdekat; juga dengan bilangan kes serta kematian yang minima.
“Bagi Perodua, kami juga mengarahkan semua kakitangan, pembekal automotif tempatan dan pengedar sah kami untuk memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan kakitangan mereka semasa MCO ini.
“Kami juga sedang memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem kami serta memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video