Daihatsu di Indonesia membuat panggilan balik hampir 100,000 unit kereta membabitkan tiga model berbeza disebabkan satu masalah teknikal membabitkan pam minyak. Tiga model itu ialah Xenia, Terios dan Sirion.

Secara tepatnya, sebanyak 97,290 unit kenderaan terjejas dan membabitkan produk tahun keluaran 2017 hingga 2019. Untuk model, Xenia ia melibatkan 53,246 unit keluaran pada bulan Oktober 2017-Jun 2019, Terios pula sebanyak 41,152 unit (Disember 2017 - Jun 2019) dan Sirion 2,892 unit (Januari 2018 - September 2019).

Antara petanda kenderaan itu bermasalah ialah enjin tiba-tiba mati dan sukar untuk dihidupkan semula, enjin tidak berdaya, indikator lampu enjin menyala tanpa padam dan meter RPM tidak stabil.


Daihatsu mengesahkan mereka akan menghubungi pelanggan terjejas. Pelanggan tidak perlu membayar kos baik pulih penggantian komponen. Semua ada percuma tetapi pelanggan terpaksa menunggu hampir dua jam untuk kerja-kerja penggantian selesai.

Jika ada pembeli Malaysia yang mengimport masuk model dari negara jiran, anda boleh membuat semakan di laman rasmi www.daihatsu.co.id/recall dengan memasukkan nombor frem kenderaan atau hubungi terus Daihatsu Access di 1-500-898.