Dua pemilik Isuzu D-Max bukan sahaja dapat menikmati kelebihan kenderaan yang baru mereka beli, sebaliknya ada kejutan lain selepas memangi peraduan "Isuzu D-Max Buy and Win" dengan menerima sebuah lagi Isuzu D-Max 2.5 Auto 4x4.

Peraduan yang diadakan sempena sambutan Hari Raya dan Hari Gawai tahun ini, Ghanie Entalang dari Sebauh, Sarawak dan Sugumaran Nagappan dipilih sebagai pemenang peraduan berkenaan melalui pembelian kenderaan Isuzu baru mereka yang dibuat antara April dan Jun lalu.



Ghanie pada awalnya berasa ragu-ragu dengan panggilan yang diterima untuk memaklumkan dirinya selepas dipilih sebagai pemenang, dan hanya ketawa.

Menurutnya, perkara pertama yang terlintas difikirannya adalah panggilan itu adalah penipuan semata-mata.

“Hanya selepas mendengar penjelasan lanjut daripada pengedar barulah saya sedar bahawa beliau tidak main-main dan berasa sangat terkejut.

“Saya teringat memang ada mengisi borang peraduan ketika membuat pembelian kenderaan baru sebelum itu. Saya terlalu gembira mendengar berita ini sampai tak boleh tidur malam," katanya.



Sugumaran juga berkongsi cerita yang sama. Dia terkejut ketika diumumkan sebagai pemenang kerana tidak pernah menyangka penyertaannya akan dipilih.

“Ketika saya menerima panggilan daripada pengedar, saya agak terkejut dan terfikir itu mungkin hanya jenaka. Tetapi kemudian, saya menerima panggilan dari ibu pejabat Isuzu yang mengesahkan bahawa saya telah memenangi sebuah lagi kenderaan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah itu dilakukan di dua tempat berbeza apabila Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki menyerahkan hadiah yang dimenangi Ghanie di bilik pameran Isuzu KM Mobil di Bintulu, sementara Pengurus Besar Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo pula menyerahkan hadiah kepada Sugumaran di bilik pameran Isuzu Jumbo Arena, di Kluang.