Antarabangsa
Ducati Panigale Versi Naked, Streetfighter V4 Lancar Di Malaysia, Harga Bermula RM115,900
Bagi melengkapkan barisan enjin V4, Next Bike Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Ducati di negara ini memperkenalkan Streetfighter V4 buat peminat motosikal naked bagi pasaran tempatan.
Ia ditawarkan dengan dua varian membabitkan Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S yang masing-masing dijual pada harga bermula RM115,900 serta RM145,900.
Selepas tujuh tahun Streetfighter mendiamkan diri, akhirnya ia kembali semula dengan gambaran sebuah Panigale V4 yang tidak mempunyai fairing, selain dilengkapi hendal lebar dan tinggi. Jentera dengan berat kering 178kg itu menggunakan enjin 1,100cc Desmosedici Stradale yang menghasilkan output 208hp.
Streetfighter V4 juga memberi gambaran yang sempurna dengan padanan lampu hadapan LED, reka bentuknya itu seolah-olah watak Joker sedang tersengih. Selain itu, ia dilengkapi dengan lampu siang berbentuk V dan menggunakan paparan TFT.
Bagi memberi kestabilan optimum, pakar Ducati Corse bersama Pusat Pengayaan Ducati menghasilkan sayap biplane aerodinamik tanpa menganggu prestasinya.
Pada masa sama, ia menggunakan pakej elektronik generasi baharu 6-axis Inertial Measurement Unit (6D IMU) untuk memberi kawalan pecutan, brek, cengkaman dan membantu pengendalian di selekoh.
Bagi versi yang lebih tinggi, Streetfighter V4 dilengkapi dengan komponen ‘mahal’ membabitkan rim Marchesini, suspensi kawalan elektrikal Ohlins dan steering damper.
Pada masa sama, Next Bike turut melancarkan dua model Ducati Scrambler membabitkan 1100 PRO dan 1100 Sport PRO.
Ducati Scrambler 1100 PRO dilengkapi dengan dua tona warna, selain menggunakan kerangka Trellis dan sub-kerangka aluminium yang mana kedua-dua warna hitam.
Peredam ekzos berkembarnya juga memberi satu daya tarikan yang menarik dan truut menggunakan livery baharu.
Bagi Ducati Scrambler 1100 Sport PRO pula, ia didatangkan dengan set suspensi Ohlins, hendal yang lebih rendah dan cermin sisi gaya Cafe Racer. Ia ditawarkan dengan warna hitam kusam dan turut didatangkan logo hitam 1100 pada bahagian sisi tangki.
Kedua-dua model itu menggunakan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC), ABS Cornering dan dilengkapi dengan tiga mod tunggangan membabitkan Active, Journey serta City.
Harganya pula, Ducati Scrambler 1100 PRO dijual bermula RM75,900, manakala RM80,900 untuk Scrambler 1100 Sport PRO.
Jika berminat, anda boleh melihat ketiga-tiga model itu di pusat pengedar Ducati membabitkan:
- Ducati Petaling Jaya
- Ducati Sungai Buloh
- Ducati Penang
Must-Watch Video