East Coast Defenders, yang kini dikenali sebagai E.C.D. Automotive Design, sememangya terkenal sebagai pakar talaan Land Rover Defender.

Rekaan syarikat itu kebiasaannya menampilkan enjin-enjin berkuasa tinggi, namun projek terbarunya kali ini agak berbeza.



Sekali imbas, Defender berwarna hitam ini nampak sama sahaja seperti Defender klasik lain yang sudah dinaik taraf. Namun apa yang menjadikannya betul-betul unik adalah ‘nadi’ elektriknya yang diambil daripada kereta elektrik keluaran Tesla.

Menurut E.C.D., pacuan elektrik terbabit mempunyai kapasiti kuasa sebanyak 100kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sejauh 354km.



Kuasa kuda dan tork tidak didedahkan, tetapi syarikat itu mendakwa ia boleh melakukan pecutan 0-96km/j dalam 5.5 saat. Angka berkenaan boleh dikira menakjubkan memandangkan Defender bukanlah sebuah jentera yang ringan. Untuk pengecasan pula, trak itu mengambil masa kira-kira lima jam menerusi outlet tiga fasa atau 10 jam menerusi plag domestik.



Dari segi penampilan, E.C.D menawarkan pelbagai aksesori mengikut cita rasa pelanggan itu sendiri. Ini termasuk untuk ruang kabin, di mana unit contoh yang ditampilkan ini dilihat mempunyai tempat duduk sporty yang dibalut upholsteri kulit dengan jahitan kontras berwarna merah.

Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan tempat duduk belakang jenis bangku yang boleh dilipat atau jenis ‘bucket’. Pendek kata, mereka bersedia untuk melakukan apa sahaja personalisasi asalkan ia menepati bajet pembeli. Janji ada duit, semuanya beres!



Syarikat itu tidak menyatakan bilangan unit yang akan ditawarkan dan kos penukaran (conversion) namun mereka yang berminat boleh mengisi borang di https://ecdautodesign.com/electric-defender/.