Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

F12 La Revoluzione hasil binaan luar biasa MANSORY.

Public Anonymous User
28/06/2018 05:43 MYT
Apa yang anda lihat ini adalah sebuah jentera yang dinamakan sebagai La Revoluzione oleh firma talaan dan modifikasi MANSORY.

Ia sebenarnya sebuah Ferrari F12 menjalani evolusi kustom sehingga ia tampak lebih agresif dan menonjol berbanding jentera keluaran kilang di Itali.

Apa yang MANSORY lakukan pada Ferrari ini ialah melucutkan kulit badan standard sepenuhnya dan menghasilkan sebuah kit badan penuh bagi F12 ini.

Material yang digunakan bukannya objek asing bagi firma itu iaitu gentian karbon berkualiti tinggi dengan kekuatan terbaik berbanding mana-mana material lain.

Mereka menciptanya sendiri dan tidak mengagihkan tugas itu kepada mana-mana pihak lain.

Pemakaian komponen pada keseluruhan badan F12 menjadikannya lebih ekstrem berbanding sebuah model standard.

Berbeza dengan unit-unit lain, model ini mempunyai rekaan hadapan baharu di mana ruang hadapan kelihatan bagaikan sebuah muncul Formula Satu dengan sejumlah bolong untuk memastikan angin luar disalurkan masuk dan keluar ke kawasan enjin dan pengambilan udara. Ia juga untuk menyejukkan enjin dan sistem brek Ferrari itu.

Di belakang, ia nampak lebih menonjol dengan muncul ekzos berkembar pada kedua-dua bahagian yang melengkapkan reka bentuk keseluruhan La Revoluzione.

Program naik taraf ruang dalaman nampaknya ditingkatkan agar menyamai aspek luaran F12 ini. Sama seperti hasil kerja di luar kabin, ruang dalaman menerima padanan komponen gentian karbon.

Selain itu, material kulit lembu terbaik dan Alcantara digunakan untuk membalut sebilangan bahagian ruangan kabin. Warna kabin disamakan dengan badannya dan semestinya tona merah.

MANSORY juga membangunkan rim khas untuk jentera ini iaitu lima jejari berkembar tiga dengan rekaan terbuka bagi menampakkan brek cakera sebesar 398 milimeter (mm) di hadapan dan 360mm belakang.

Tayar yang disarung pula adalah jenis Pirelli Ultra High Performance pada rim hadapan berukuran 21 inci dengan saiz 255/30 manakala rim belakang 22 inci dibalut saiz 335/25.

MANSORY juga menetapkan standard baharu prestasi pada enjin 12 silinder itu dengan bantuan unit kejuruteraan mereka.

Satu sistem perisian untuk untuk kawalan tengah dihasilkan, pemasangan turbo bersaiz lebih besar dan mereka semula sistem ekzos untuk meminimumkan tekanan ke belakang.

Enjin turbo berkembar itu mampu menghamburkan kuasa 1,200hp dan tork maksimum 890 newton meter.

Pecutan dari titk pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j), La Revoluzione memerlukan masa 2.9 saat sahaja. Kelajuan maksimum ialah 370km/j.