Penularan wabak koronavirus atau Covid-19 mendorong Kumpulan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) untuk menggantung pengeluaran enam jenama kenderaan di Eropah.

Langkah drastik itu diambil dengan menghentikan sementara pengeluaran di kilang pengeluaran FCA sehingga 27 Mac ini. Enam jenama yang akan terkesan ialah Abarth, Alfa Romeo, Fiat, Jeep, Lancia dan Maserati.

Di Eropah, dua negara paling terkesan dengan pandemik Covid-19 ialah Itali dan Sepanyol. Malah Ferrari dan Lamborghini sebelum ini sudah mengumumkan untuk menggantung operasi kerana bimbang ancaman wabak sama.

FCA menerusi satu kenyataan mengesahkan penutupan kilang di tiga negara iaitu Itali membabitkan lima buah kilang (Melfi, Pomigliano d'Arco, Cassino, Carrozzerie Mirafiori, Grugliasco dan Modena) serta masing-masing satu di Serbia (Kragujevac) dan Poland (Tychy).

Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa pasaran dan penularan wabak Covid-19, membolehkan FCA menyusun jadual 'memulakan semula pengeluaran ketika masa baik apabila keadaan pasaran membenarkan’.

Selain itu, kumpulan itu juga mengambil langkah keselamatan lain di dalam kilang pengeluaran untuk mengekang merebaknya virus terbabit. Ini termasuk meningkatkan ukuran jarak antara pekerja di tempat kerja, meningkatkan proses dan kerja-kerja sanitasi di semua fasiliti termasuk kantin.

FCA juga membenarkan pekerja bekerja dari rumah (remote) khususnya mereka yang terlibat dalam bidang pejabat pengurusan dan pentadbiran.