Bagi mereka yang berhajat membeli sebuah Ferrari berstatus sukar ditemui atau rare, mungkin ini peluang terbaik buat anda.

Ada sebuah Ferrari 575 Superamerica keluaran tahun 2006 yang agak jarang ditemui mahu dilepaskan dengan harga £299,950 (RM1.6 juta).


Menariknya, kereta ini ialah jenis pemanduan sebelah kanan iaitu kedudukan stereng sesuai untuk semua pemandu di Malaysia.

Pengeluaran 575 Superamerica bermula pada 2004, dibangunkan berasaskan model coupe 575M Maranello. Supercar ini adalah pewaris Ferrari 550 Barchetta (bumbung kanvas) dan berjaya menyelesaikan banyak permasalahan berkait bumbung kanvas model berkenaan.


Supercar V12 ini menggunakan bumbung cermin elektrokromik ciptaan kumpulan syarikat Saint-Gobain di Perancis dan ia boleh berpusing 180 darjah. Apabila berada dalam keadaan convertible, cermin ini berfungsi sebagai sistem anti gelora udara.

Berdasarkan statistik, hanya 559 unit dihasilkan dan meninggalkan kilang Ferrari di Itali. Hanya sebilangan kecil ialah jenis pemanduan kanan.


575 Superamerica ini didatangkan dengan semua ciri sedia ada tetapi mempunyai rekod pemanduan amat rendah iaitu sekadar 2,896 kilometer sejak tahun 2006.

Model ini menggunakan kotak gear F1 dengan paddle shift pada roda stereng beserta HGTC (H untuk pengendalian). Sistem brek cakeranya dikatakan jenis karbon seramik dengan tetapan suspensi lebih jitu dan dilengkapi sistem ekzos sport. Sebagai tambahan, kereta ini didatangkan dengan pek karbon.


Sama seperti kebanyakan Ferrari lain, model ini diselaputi warna Rosso Corsa tetapi ruang kabin kelihatan terang dengan tona coklat lembut.

Bagi mereka yang berminat, ia boleh dibeli dengan syarikat Bell Sport & Classic menerusi laman webnya.