Bagi mereka yang suka memandu di litar, Ferrari melancarkan edisi terhad 488 GT Modificata dengan dibangunkan menggunakan teknologi daripada dua model iaitu 488 GT3 dan 488 GTE. Nama ‘Modificata’ yang diberikan itu adalah istilah Ferrari dalam mereka cipta model dengan menawarkan pretasi lebih tinggi.


GT Modificata menawarkan prestasi yang maksimum berbanding 488 GT3 dan 488 GTE. Ia juga dibangunkan dengan menggunakan teknologi baharu terhadap rangkaian kuasa tanpa terikat piawaian FIA Balance of Performance.


Jentera edisi terhad itu menggunakan enjin V8 turbo berkembar, tetapi sudah dinaik taraf dengan material enjin perlumbaan sekali gus mampu menyalurkan 690hp. Kotak gear pula, boleh didapati dengan nisbah transmisi yang berbeza, selain dipadankan klac gentian karbon untuk meningkatkan kuasa dan tork.


Jentera itu juga mempunyai aerodinamik downforce yang cukup baik dengan catatan lebih 1000kg pada kelajuan 230km/j. Sistem suspensinya pula diambil daripada teknologi 488 GTE dan kuasa hentian dibangunkan bersama brek berprestasi, Brembo. Ia juga menggunakan sistem ABS daripada 488 GT3 Evo 2020.


Seperti model Ferrari yang lain, pelanggan juga boleh melakukan tempahan khas bagi penampilan luaran dan dalaman kenderaan mereka. Walaupun mempunyai banyak wang, jentera itu hanya boleh dimiliki sekiranya anda menyertai acara Club Competizioni GT dan Ferrari Competizioni GT sahaja.