Tahukah anda, Ford F-Series adalah trak paling laris di Amerika Syarikat sejak 42 tahun lalu. Syarikat pengeluarnya nampaknya sekali lagi meningkat penanda aras keupayaan dengan menggunakan enjin baharu 7.3-liter V8 petrol.

Enjin berkenaan dalam rangkaian pikap Super Duty adalah terbaik dalam kelasnya dengan mampu menjana 430hp pada 5,500rpm serta tork sekuat 644Nm pada 4,000rpm.

Ford mendakwa tiada mana-mana pesaing mampu membekalkan sebuah enjin petrol termaju dan berkuasa dalam segmen rangkaian secara meluas daripada pikap Kelas 2 Super Duty hingga Kelas 7 trak komersial.



"Enjin 7.3 liter ini direka untuk ketahanan maksimum dalam persekitaran mencabar memandangkan pelanggan kami hidup dan bekerja dalam keadaan sebegitu setiap hari,” kata Joel Beltramo, Pengurus Ford bagi enjin petrol V8.

“Ia mempunyai sesaran paling besar dalam kelasnya dan direka untuk membekalkan manfaat seperti kuasa, ketahanan, mudah diselenggara dan jumlah kos operasi."

Enjin 7.3 liter itu diguna pakai buat pertama dalam model Super Duty F-250 dan trak pikap F-350. Ia menyertai pilihan sedia ada 6.2 liter V8 petrol dalam barisan Super Duty selain generasi ketiga 6.7 liter Power Stroke diesel V8.



Enjin 7.3-liter V8 menghasilkan kuasa 350hp pada 3,900rpm dan tork 635Nm pada 3,900rpm akan dijadikan ciri standard pada F-450, F-550, F-600, F-650 serta F-750 Medium Duty trak, serta pada casisi F-53 dan F-59.

Model E-Series versi naik taraf juga akan mengguna pakai enjin 7.3 liter V8. Enjin 7.3 liter ini dipadankan dengan kotak gear baharu Ford 10 kelajuan automatik dan semua model kecuali F-650 and F-750, yang kekal dengan kotak gear enam kelajuan.