Tekno

Ford Mustang Lithium - Jentera ikonik yang tiada bunyi enjin

gempak
Erywan
08/11/2019
08:23 MYT
Sponsor Banner
Ford Mustang Lithium - Jentera ikonik yang tiada bunyi enjin
Sebut sahaja nama Mustang, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran adalah ngauman garang enjin supercharged V8. Tetapi dengan Mustang Lithium, anda tidak akan dapat mendengar bunyi terbabit kerana ia dikuasakan oleh motor elektrik. Diperkenalkan pada pameran SEMA 2019, Mustang Lithium adalah hasil kerjasama antara Ford dan Webasto. Ia mempunyai sebuah motor elektrik dua-teras PhiPower dan dua inverter kuasa yang dijana oleh sistem bateri 800 volt yang dibekalkan oleh Webasto.
Menurut Ford, sistem pacuan elektrik itu menghasilkan lebih 900hp dan 1,355Nm tetapi apa yang lebih menarik, ia dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan Getrag. ‘Half shaft’ Ford Performance dan differential Super 8.8 Torsen membantu menyalurkan kuasa ke roda belakang. Mustang Lithium dilengkapi dengan empat mod pemanduan yang ditala untuk mengawal jumlah tork yang terhasil iaitu Valet, Sport, Track dan Beast. Mod-mod itu boleh dipilih menerusi skrin sentuh berukuran 10.4 inci di dalam kabin. Ia turut mendapat Track Handling Pack dari Ford Performance, pendakap topang, rim Forgeline dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S serta brek enam omboh Brembo yang diambil dari Mustang Shelby GT350R.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan hud Webasto dengan tingkap polycarbonate yang telus, solusi pengecasan TurboDX dan pengecas mudah alih TurboCord. Mustang Lithium adalah sebuah prototaip yang dibangunkan untuk menunjukkan potensi pacuan kuasa elektrik di dalam kereta sport seperti Mustang. Ini selari dengan pelan Ford yang telah melaburkan $11.5 bilion dalam usaha elektrifikasinya menjelang 2022.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024