Peminat Ford Ranger di beberapa pasaran di Eropah bakal berpeluang memiliki sebuah model edisi terhad yang dikenali sebagai Ranger Thunder. Terhad kepada 4,500 unit sahaja, model berkenaan hadir dengan enjin yang sama Ranger Raptor serta beberapa penambahbaikan visual.


Antara penambahbaikan itu adalah warna luaran Sea Grey serta kemasan Ebony Black pada jeriji hadapan, bampar ‘skid plate’, bar belakang dan pemegang pintu. Turut disertakan adalah perincian berwarna merah, logo Thunder tiga dimensi serta logo Ranger berwarna hitam matte pada bonet belakang.


Sementara itu, kemasan gelap pada lampu hadapan dan belakang, rim 18 inci serta penutup flatbed Black Mountain Top melengkapkan imej agresif Ranger Thunder.


Ruang kabin menampilkan tema garang yang sama dengan upholsteri kulit Ebony yang dipadankan dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, stereng dan panel instrumen. Karpet lantai berwarna hitam adalah ciri standard, begitu juga dengan pencahayaan merah pada bahagian ‘sill plate’.


Di bawah hud Ranger Thunder adalah enjin diesel EcoBlue 2.0-liter Bi-Turbo yang menjana 213PS dan 500Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan. Ia menampilkan nisbah yang luas dan penukaran gear secara adaptif bagi membolehkan perubahan mengikut situasi pemanduan.


Harga Ranger Thunder tidak dinyatakan, tetapi pelanggan boleh membuat tempahan bermula pertengahan tahun ini. Tahun 2019 adalah tahun paling cemerlang bagi Ranger di Eropah, dengan 52,500 unit terjual.