Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia melancarkan Ford Ranger Raptor X Edisi Khas Baharu untuk pelanggan di Malaysia dengan warna baharu True Red, menjadikan Raptor merah pertama diperkenalkan di pasaran.

Ford Ranger Raptor X Baharu Edisi Khas didatangkan dengan kamera 360-darjah. Teknologi ini menggabungkan beberapa kamera video untuk memberikan liputan masa nyata sekeling kedudukan kenderaan.


Ia juga mempunyai ciri Perakam Video Dwidigital (DVR) Kenwood yang menawarkan pelbagai fungsi, termasuk perakam berkualiti tinggi (HD) Quad, sudut pandangan yang luas, rakaman penglihatan malam, pelindung berpolaris terbina dan aplikasi mudah alih yang dihubungkan melalui hotspot. Padan dengan Apple iOS dan juga Android, ia didatangkan dengan kad memori 32GB yang membolehkan pemandu merakam aktiviti kembara atau pun sebagai ciri keselamatan.


Pelekat halilintar Raptor X yang eksklusif dan alas kaki Edisi Khas memberikan perbezaan yang lebih ketara, sambil mengekalkan kabin Ranger Raptor yang premium.

Ranger Raptor yang diperkenalkan di Malaysia pada hujung tahun 2018 ialah trak off-road berprestasi dan berkelajuan tinggi dari kilang yang unggul dan direka agar mampu memberi keghairahan kepada pencinta aksi lasak tegar.


Berpandukan pengalaman dari Ford F-150 Raptor, kerangka casis Ranger Raptor yang unik dibina dan diubahsuai secara besar-besaran untuk kelajuan dan ketahanan off-road.

Sistem gantungan setaraf kereta lumba juga direka khusus untuk menangani muka bumi yang sukar, mengurangkan loncatan, hentakan dan lekukan. Tiada trak lain keluaran di Malaysia yang dipasang FOX Racing Shox dan bash plate dengan kekuatan ultra.


Sistem Pengurusan Muka Bumi canggihnya memberikan enam mod pra-tetapan untuk menawan apa jua permukaan, dengan hanya putaran dial. Diinspirasikan oleh Baja 100 Desert Race, mod Baja yang cukup terkenal ini memberikan daya cengkaman, meningkatkan daya responsif dan penukaran kelajuan, serta mengoptimumkan kelajuan tinggi off-road Ranger Raptor.

Untuk prestasinya, Raptor menghasilkan tenaga 213 PS dan daya kilas setinggi 500Nm serta dikalibrasi penuh teliti dengan transmisi 10-kelajuan teknologi PaddleShift.


Ia turut lengkap dengan Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki, Amaran Perlanggaran Depan dan Amaran dan Bantuan Keluar Laluan.

Dengan penarafan lima bintang NCAP, Ford Ranger Raptor X Baharu Edisi Khas didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000km (yang mana terdahulu) untuk model Tahun Buatan 2021 ke atas dan disasarkan untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pemilik Ranger baharu. Harganya pula, ia dijual pada harga RM216,888.