Nissan GT-R adalah antara model jentera Jepun yang memiliki pengikut dan peminat setia, biarpun kurang menerima naik taraf signifikan sejak pengenalannya pada 2007.

Biarpun begitu, model yang popular dengan gelaran Godzilla tidak mudah tunduk kepada kereta sport mewah kelahiran Itali dan Jerman.

Godzilla yang kami tampilkan kali ini nampaknya 'membesar' dengan sihat di negara jiran, Indonesia. Jentera ini sudah pasti akan membuatkan kepala pemandu lain pusing untuk memandang ke arahnya.

Nissan GT-R ungu ditala sehingga rapat ke bumi dan mungkin menyebabkan orang ramai beranggapan model ini milik seseorang individu dari Jepun.

Ketinggian Nissan GT-R itu direndahkan membantu meningkatkan kekuatan faktor pusat gravitinya di mana ia menyumbang kepada kestabilan ketika pemanduan.

Cumanya, tahap rendahnya mungkin mengundang masalah jika jalan yang diredah tidak sekata apatah lagi berbonggol atau berlubang. Mungkin sistem suspensi yang diguna pakai pada Nissan GT-R adalah jenis hidraulik.

Nissan GT-R adalah hasil kerja ADV.1 Wheels di Indonesia. Melihat pada gambarnya, anda boleh mengesan sebahagian besar modifikasi kosmetik yang dilaluinya.

Kereta edisi 2018 ini, menurut laman web ADV.1 Wheels, dikenakan satu set kit badan lebar iaitu Rocket Bunny Pandem dan rim pula adalah ADV5.0 Track Spec CS Series berwarna tembaga.

Keseluruhan fasia hadapan di olah semula dan ada satu splitter baharu diselitkan di bawah bampar hadapan, selain menggunakan jeriji baharu dan dibekalkan bersama set lampu nyalaan siang jenis LED.

Lampu hadapan nampaknya masih versi standard headlights biarpun hud asal sudah dikeluarkan untuk padanan penutup rumah enjin berasaskan material gentian karbon.

Melihat pada bahagian belakangnya, ada sebuah spoiler gentian karbon ditambah dan juga peresap belakang bersaiz besar.

Secara asasnya, sebuah model standard Nissan GT-R edisi 2018 boleh menjana kuasa sehingga 565hp. Kami tidak mengetahui sama ada model ini ada menerima tambahan dos kuasa.

Kredit: ADV.1 Wheels