Antarabangsa

Hampir 2 Bulan Tutup Akibat Covid-19, Kilang Pasang Kenderaan Toyota Kini Mula Beroperasi

Erywan
12/05/2020
05:23 MYT
Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), sebuah anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terbabit di dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota kini telah menyambung semula operasinya.
Ini susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei 2020.
ASSB menggantung semua operasinya bermula 18 Mac 2020 sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Syarikat akan menyambung semula operasi pada 11 Mei 2020.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, dengan penyambungan semula operasi, pihaknya berharap akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi serta meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan di hari mendatang.
Seperti juga semua syarikat yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diamalkan. ASSB akan patuh sepenuhnya kepada semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja.
Antara SOP yang dimaksudkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja; pemeriksaan suhu badan dengan kerap; langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka; serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari. Sekiranya perlu, tempoh bekerja serta aliran tugas juga akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video