Antarabangsa
Harga Paling Rendah Generasi Baharu Honda Jazz Bermula RM58,000 Di Jepun
Selepas memperkenalkan generasi keempat Honda Fit di acara dwi tahunan Tokyo Motor Show 2019 lalu, akhirnya Honda Motor Company secara rasminya menjual kenderaan itu bagi pasaran Jepun.
Ia mula dijual bermula 14 Februari lalu yang mempunyai lima varian serta ditawarkan dengan dua enjin di negara berkenaan.
Bagi enjin empat silinder 1.3 liter i-VTEC ia digabungkan dengan kotak gear CVT yang menyalurkan 97hp pada 6,000rpm dan tork setinggi 118Nm pada 5,000rpm.
Versi hibrid e:HEV pula, dipadankan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC dan turut dibantu motor elektrik serta menggunakan kotak gear CVT. Gabungan enjin dan motor elektrik itu mengekstrak kuasa sehingga 107hp dan tork mencecah 253Nm.
Tahap penggunaan bahan api bagi versi e:HEV boleh mencecah 28.8 kilometer bagi setiap liter, manakala 20.4km/L untuk enjin 1.3 liter.
Dari segi harga, ia dijual bermula 1,557,600 yen (RM58,896) bagi Fit varian asas dengan enjin 1.3 liter. Bagi e:HEV pula bermula 1,997,600 yen (RM75,533).
Bagi memberi pelbagai pilihan, Fit baharu itu ditawarkan dengan lima varian yang terbahagi kepada:
- Basic - Ini adalah model paling asas bagi Jazz/Fit. Perbezaanya cuma material yang asas dengan tidak mempunyai gabungan warna berbeza.
- Home - Varian ini menggunakan warna yang lembut untuk membuatkan ruang kabin lebih santai serta padanan material premium. Ia menggunakan pad lembut dan berkualiti tinggi untuk lebih keselesaan.
- Ness - Fit/Jazz versi ini ditawarkan dengan gabungan warna, selain menggunakan bahan kalis air untuk tempat duduk dan panel instrumen yang mana Versi ini tampak sporty dan bergaya.
- Crosstar - Jika dilihat pada luarannya, ia seolah-olah sebuah kenderaan crossover yang sesuai untuk kegunaaan di kawasan bandar dan luar bandar. Luarannya ia dilengkapi aksesori pada bahagian ruang roda serta roof rail.
- Luxe - Jazz/Fit versi ini adalah untuk mereka yang suka berciri mewah apabila ruang dalamannya dipadankan dengan tempat duduk kulit. Luarannya ia diperkemaskan dengan beberapa komponen yang disaluti krom.
Must-Watch Video