Hennessey Performance yang dikenali dengan kerja menyuntik dos kuasa luar biasa pada sejumlah model kenderaan kini muncul dengan satu projek baharu. Eksperimen kali ini membabitkan sebuah Chevrolet Corvette.

Firma talaan itu mengumumkan bahawa mereka kini menawarkan pakej naik taraf Corvette hingga 1,200hp. Selain itu, ada beberapa pakej lain ditawarkan Hennessey kepada pemilik Corvette.

Sejak beberapa bulan lalu, Hennessey mengakui ada menerima beratus-ratus pertanyaan daripada pemilik C8 Corvette mengenai pakej apa yang boleh ditawarkan untuk mereka.

Pengasas syarikat, John Hennessey berkata, pihaknya menyediakan satu borang soal selidik atas talian dan menerima lebih 250 jawapan.

“Bilangan itu semakin meningkat saban hari. Apa yang pelanggan beritahu kami ialah mereka mahu satu kejutan besar, mahu kuasa tambahan,” katanya.

Oleh itu, akan menawarkan pakej naik taraf sistem ekzos yang membantu meningkatkan sedikit kuasa Corvette. Tiada jumlah kuasa peningkatan didedahkan.

Selepas itu, ada juga pakej tambahan kit supercharger yang akan menganjak kuasa C8 kepada 700hp. Jika merasakan ia masih hambar, ambil sahaja pakej naik taraf binaan semula enjin Corvette LS2 V8 dan disambung kepada dua pengecas turbo. Hasilnya 1,200hp.

Untuk kotak gear, ada tawaran naik taraf klac berkembar untuk memastikan aliran kuasa ke roda belakang lebih lancar. Hennessey juga menawarkan kit badan CarbonAero, brek Brembo, sistem suspensi boleh laras dan pakej tayar serta rim istimewa.