Selepas tiga tahun berada di pasaran, Honda Amerika Syarikat akhirnya memberikan nafas baru kepada Accord generasi ke-10 dengan facelift yang merangkumi kemas kini reka bentuk, teknologi dan kelengkapan keselamatan.


Model tahun 2021 ini tampil lebih segar dengan gril lebih lebar yang dihiasi dengan tiga bilah krom. Menurut Honda, rekaan ini membolehkan unit radar Honda Sensing diintegrasikan dengan lebih kemas berbanding sebelum ini. Lampu kabus dan utama turut direka semula, manakala varian LX, EX-L dan Touring menerima rim baharu.


Di dalam, skrin sentuh sistem audio berukuran lapan inci kini didatangkan standard pada semua varian, begitu juga dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Bagaimanapun, pelanggan yang memilih varian EX-L dan Touring akan mendapat Apple CarPlay dan Android Auto versi tanpa wayar. Untuk kemudahan pengguna, port USB dialihkan ke bahagian hadapan konsol tengah, manakala port USB 2.5 volt untuk penumpang belakang disertakan pada varian-varian teratas.


Dari segi keselamatan pula, semua varian Accord kini didatangkan ciri Rear Seat Reminder dengan tambahan sistem Low Speed Braking Control untuk Hybrid dan Hybrid Touring. Selain itu, ciri Adaptive Cruise Control (ACC) mempunyai fungsi brek yang lebih lancar manakala Lane Keeping Assist System (LKAS) menawarkan ‘lane centering’ yang lebih efektif dan natural.


Turut dikemas kini adalah aspek teknikal. Accord Hybrid mendapat sistem hibrid i-MMD dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 212hp dan 315Nm. Sementara itu, varian 1.5T (192hp) dan 2.0T (252hp) pula menerima perisian pengurusan enjin yang ditala untuk tindak balas pendikit yang lebih linear dan responsif.


Akhir sekali, Honda turut memperkenalkan varian Sport SE bagi menggantikan EX 1.5T sebelum ini. Di samping kelengkapan standard yang terdapat pada varian Sport 1.5T, varian baharu ini menampilkan upholsteri kulit, ciri pemanas tempat duduk hadapan dan ciri pelarasan empat cara untuk tempat duduk penumpang. Dari segi visual, ia tampil lebih sporty dengan spoiler, rim 19 inci, lampu kabus LED, kemasan krom gelap pada gril dan muncung ekzos krom.