Bagi memberi kemudahan kepada penduduk Shah Alam, Selangor, Honda Malaysia membuka Pusat 3S di kawasan berkenaan yang dikendalikan oleh Elmina Motors Sdn Bhd.

Ia turut menjadi Pusat 3S yang ke-28 terletak di kawasan tengah dan pembukaannya bersesuaian dengan permintaan tinggi dari segi perkhidmatan selepas jualan, selain mereka yang mahu membeli kenderaan jenama Honda.


Elmina Motors melabur sehingga RM21.8 juta untuk membina Pusat 3S itu dengan keluasannya mencecah 85,377 kaki persegi serta dilengkapi dengan kemudahan terkini yang mengikut piawaian Honda.

Ia dilengkapi dengan 20 ruang yang mana 12 untuk servis, 4 pembaikan am, 2 servis tayar dan setiap satu untuk penyaman udara serta elektrikal. Secara keseluruhan, ia mampu menawarkan servis sebanyak 30 unit setiap hari.


Selain itu, Pusat 3S itu juga disediakan kemudahan lain membabitkan ruang menunggu, Wi-Fi percuma, sudut kanak-kanak dan makanan serta minuman percuma kepada pelanggan. Pada masa sama, Elmina Motors turut menyediakan perkhidmatan basuh kereta dan perbaharui cukai jalan serta insurans.

Jika anda mahu ke sana, Elmina Motors terletak di lokasi strategik dengan akses mudah melalui Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang akan datang.


Untuk keselamatan pelanggan dan pekerja Honda, pelanggan disarankan untuk membuat janji temu sebelum menghantar kereta bagi penyelenggaraan perkhidmatan dalam tempoh PKPP ini.

Pelanggan juga boleh mengunjungi mereka di Jalan Pekan Subang, Kampung Baru Subang, Seksyen U6, 40150 Shah Alam, Selangor atau melayari laman web www.honda.com.my untuk maklumat lebih lanjut.