Akhirnya, Honda Civic 2022 diperkenalkan buat secara rasminya yang mana bentuknya kelihatan seakan-akan Honda Accord.


Biarpun ia sebuah prototaip, mungkin reka bentuk pengeluarannya akan datang kelihatan seperti ini. Dari segi luarannya, ia boleh dilihat dengan penggunaan lampu utama baharu yang digabungkan dengan lampu siang LED.


Ia juga tampak garang dengan padanan grill hitam berkilat serta lubang jeriji pada bahagian bampar bawah yang besar untuk tampak sporty. Sisinya, garisan tepi tidak terlalu tajam kerana ia menampilkan panel badan yang sedikit bersahaja dan tidak terlalu agresif.


Bahagian belakang pula, pintu but mempunyai sedikit tinggi dan dilengkapi lampu LED yang menarik, selain mempunyai dua lubang ekzos.


Ruang dalamannya pula, hanya gambar lakaran sahaja yang disiarkan. Ia menggunakan konsep bertema minimalis dan ia seolah-olah mengambil sedikit reka bentuk Honda E.


Kelihatan juga penggunaan sistem infotaimen skrin sesentuh terapung pada papan pemuka yang mungkin bersaiz 9 inci. Bahagian bawahnya pula, mempunyai butang kawalan untuk penyaman udara. Ia memberi penampilan yang lebih segar, bersih dan mesra pengguna.


Maklumat berhubung rangkaian kuasa, masih lagi jadi rahsia. Namun, ia mungkin menggunakan enjin 1.5 liter turbo seperti Civic yang ada buat masa ini. Difahamkan, produksi Civic baharu itu akan dilakukan beberapa bulan lagi dan ia akan dilancarkan suku tahun hadapan di Amerika Utara untuk varian hatcback serta sedan.