Tidak sampai sebulan, Honda Civic Type R Limited Edition untuk pasaran United Kingdom (UK) sudah pun habis di jual sepenuhnya.

Buat pasaran UK, hanya 20 unit sahaja ditawarkan dan difahamkan pelanggan di sana membelinya tanpa melihat kereta itu di depan mata. Harga pula, ia dijual pada harga £39,995 (RM204,403).

Untuk pengetahuan anda, Honda Civic Type R Limited Edition sebenarnya dikeluarkan sebanyak 700 unit sahaja. Jumlah itu dibahagikan untuk pasaran Amerika Syarikat sebanyak 600 unit, manakala selebihnya adalah untuk dijual di Eropah termasuk 20 unit bagi UK.

Di Amerika Syarikat, beratnya hanya berkurang 20.9 kilogram (kg) selepas menukar rim standard kepada roda aluminium BBS bersaiz 20 inci untuk mengurangkan berat 8.1 kilogram (kg). Ia juga turut dikurangkan penebat bunyi, buang saluran pemanas belakang, wiper belakang, penutup tonneau.

Berbeza pula bagi pasaran Eropah apabila beratnya berkurang sehingga 47 kg selepas banyak lagi barangan 'dibuang' seperti sistem infotainmen, pembesar suara dan penyaman udara.

Bagaimanapun, kedua-dua jentera untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat itu dibuat semula berhubung casisnya dengan menala sistem suspensi dan stereng untuk meningkatkan pengendalian.

Honda berkata, perubahan yang dilakukan itu membuat Type R berkenaan kereta hatchback pacuan hadapang paling dinamik berada di pasaran ketika ini.

Selain berwarna kuning, Type R versi edisi terhad itu dipadankan dengan lencana krom gelap, selain bumbung, cermin sisi, saluran udara pada bampar dicat warna hitam berkilat. Malah ia juga dilengkapi dengan kepingan nombor siri.

Berhubung rangkaian kuasanya, tiada perubahan yang dilakukan dan masih menggunakan enjin 2.0 liter turbocharged. Enjin itu menghasilkan 306 atau 320hp yang disalurkan ke kotak gear manual enam kelajuan bernisbah pendek.