Dengan lebih 300hp dan transmisi manual enam kelajuan, Honda Civic Type R sudah mampu membuatkan mana-mana pemandu tersenyum kegembiraan.

Namun bagi mereka yang berhati kering, apa yang ditawarkan oleh jentera ‘hot hatch’ itu mungkin sudah tidak mencukupi. Dengan itu, Honda memperkenalkan versi lumba yang dikenali sebagai Civic Type R TC.

Dibangunkan oleh Honda Performance Development (HPD), Civic Type R TC sah untuk digunaakan dalam pelbagai kelas perlumbaan termasuk SRO Touring Car Americas TC, SCCA T2 , NASA ST5 dan E2.

Jentera ini hadir dengan enjin 2.0-liter VTEC Turbo K20C1 yang sama dengan versi standard, namun apa yang membezakannya adalah enjin tersebut boleh ditala untuk menghasilkan kuasa antara 270 dan 330hp, bergantung kepada kelas perlumbaan yang disertai.

Bagi memastikan enjin itu tahan lebih lama, HPD menggunakan hud berbolong J’s Racing, jeriji mesh, serta penyejuk minyak dan radiator yang direka oleh CSF.

Turut disertakan adalah sistem ekzos ‘downpipe’ Borla dan tangki minyak piawaian FIA berkapasiti 60 liter.

HPD turut menaik taraf transmisi dengan menggunakan gear tiga dan empat yang lebih kuat. Ia ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan menerusi Limited Slip Differential keluaran Cusco.

Bagi sistem suspensi, Civic Type R TC mendapat peredam boleh laras dan gegelung Bilstein, serta pelbagai komponen yang dipertingkatkan oleh HPD.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera Girodisc berukuran 350mm yang dipadankan dengan angkup Brembo empat omboh pada gandar hadapan.

Selain itu, sangkar keselamatan, kerusi perlumbaan dengan abah-abah OMP dan pengelog data turut disertakan di dalam jentera ini.

Seperti yang dijangka, harga Civic Type R TC jauh lebih mahal berbanding versi standard iaitu $89,900 (RM371,700).