Bagi memberi pilihan lebih menarik, Honda Malaysia menawarkan dua pilihan warna bagi ruang dalaman HR-V RS sama ada perang gelap (Dark Brown) atau hitam (Black).

Warna perang gelap baharu itu akan meliputi bahagian dalaman HR-V RS membabitkan konsul tengah, panel hadapan, tempat duduk penumpang dan pemandu, selain kemasan pada panel pintu.


Sebagai tambahan ruang dalaman warna perang gelap itu, HR-V RS lebih menyerlah dengan penggunaan Paparan Audio 7-inci, Paddle Shift dan Honda LaneWatch.

Pada masa sama, model berkenaan menjadi penanda aras bagi segmen SUV kompak selepas dilengkapi ciri praktikal Multi-Utility Cargo Space yang menawarkan keselesaan cabin yang dan ruang kargo lebih luas untuk pelbagai kegunaan.


Ruang kemasan dalaman perang gelap itu juga hanya eksklusif untuk pasaran Malaysia dan anda boleh membuat tempahan di 101 pengedar Honda di seluruh negara.

Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, sebanyak 91,000 unit HR-V sudah membanjiri jalan raya di Malaysia.


Bagi versi dipertingkatkan (facelift) pula, ia dilancarkan pada awal 2019 dan sudah dijual lebih 19,000 unit yang mana 21 peratus daripadanya disumbangkan oleh varian RS.

Pada masa sama, HR-V menjadi model kompak SUV popular di Malaysia selepas menduduki tempat pertama dengan 85 peratus penguasaan pasaran dalam segmen SUV Kompak Buatan Bukan Nasional di negara ini.


Dari segi prestasinya, ia masih menggunakan 1.8L SOHC i-VTEC yang menggunakan Continuous Variable Transmission (CVT). Ia juga dilengkapi dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pengalaman pemanduan lebih sporty dan responsif.

Ciri keselamatan standard yang ada pada HR-V itu termasuklah Enam Beg Udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pemula Menaiki Bukit (HSA), tempat duduk belakang ISOFIX, Emergency Stop Signal (ESS) dan Automatic Brake Hold (ABH).


Berhubung harganya, HR-V RS yang dilengkapi ruang dalaman perang gelap itu dijual pada RM124,888 tidak termasuk insurans iaitu sama dengan varian RS sedia ada.

Pilihan warna pula, ia ditawarkan dengan Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl.